Waswas, Penyakit Pada Akal Manusia Dari Bisikan Syaitan

Waswas daripada segi bahasa ialah bisikan halus daripada angin dan lain-lain. Rujuk: Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah (43/147).
penyakit was-was, masalah was-was, was-was semasa solat, was-was semasa berwudhuk, was-was, penyakit akal was-was

ALLAH SWT berfirman: “Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.” (Surah Qaf: 16)

Dari segi istilah, fuqaha membahagikan takrifan waswas kepada beberapa makna, antaranya:

  • Waswas bermaksud percakapan dalam diri sendiri seperti dibisikkan ke dalam diri insan perasaan berbolak-balik sama ada telah melakukan sesuatu atau belum melakukan sesuatu.
  • Waswas bermaksud sesuatu yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam diri manusia.
  • Waswas ialah apa yang dibisikkan ke dalam diri manusia ketika melakukan sesuatu perkara kepada tahap yang terlalu berhati-hati sehinggakan apabila telah melakukan sesuatu, dia akan mengulangi perkara itu secara berlebihan dan keterlaluan.
  • Waswas ialah penyakit pada akal manusia yang apabila dia bercakap maka percakapannya sia-sia. (Rujuk: Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah, 43/147).

Permasalahan waswas

Terdapat beberapa nas dalam al-Quran dan hadis yang menyentuh berkenaan permasalahan waswas:

“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dalam kalangan jin dan manusia.” (Surah Al-Nas: 5-6)

Sayyid Qutb berkata: “Kita tidak mengetahui bagaimana berlakunya bisikan syaitan, tetapi kita berasakan kesannya dalam jiwa dan dalam realiti hidup kita. Kita sedar pertarungan Adam dan iblis adalah satu pertarungan yang amat lama.”

“Walau bagaimanapun, ALLAH tidak membiarkan manusia mengharungi pertarungan itu tanpa senjata, malah ia telah menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia itu lupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya, maka dialah sahaja yang patut dipersalahkan.” (Rujuk: Tafsir Fi Zilalil Quran (17/604)

Syaitan akan membisikkan ke dalam hati anak Adam ketika anak Adam berada dalam keadaan sedih dan gembira. Jika manusia itu berjaya untuk mengingati Tuhannya, maka syaitan itu akan menjauhinya. Rujuk: Tafsir Ibn Kathir (4/750)

Bentuk Dan jenis Waswas

Ibnu Al-Jauzi berkata, syaitan menjalankan tipu daya pada manusia ketika solat, dengan cara mengganggu seseorang ketika sedang berniat untuk solat. Sebahagian mereka melafazkan usolli. Kemudian mengulanginya kerana menyangka niatnya batal sedangkan niatnya tidak batal. Sebahagian yang lain mengangkat takbir kemudian membatalkan lalu mengulang-ulanginya semula apabila imam rukuk barulah orang yang waswas itu mengangkat takbir lalu rukuk bersama imam. Hal ini tidaklah melainkan kerana iblis mahu menghilangkan kelebihan (fadilat takbir bersama imam) bagi orang yang waswas itu. Rujuk: Talbis Iblis (halaman: 169)

Tiga bahagian

Menurut Imam Al-Ghazzali dalam kitab Ihya’ Ulum Al-Din, waswas terbahagi kepada beberapa bahagian:

Pertama

Bisikan kepada sesuatu kebenaran. Contohnya seseorang yang berkata: “Adakah patut aku meninggalkan kelazatan dunia? Kehidupan dunia sungguh panjang dan bersabar dalam meninggalkan kelazatan dunia sepanjang hidup adalah sangat pedih.”

Namun, apabila mengingati agungnya kebesaran Tuhan dan nikmatnya syurga serta pedihnya azab neraka maka dia berkata kepada diri sendiri: “Menahan diri daripada kelazatan dunia amat pedih namun bersabar dengan seksa neraka adalah jauh lebih pedih. Tidak dapat tidak, aku harus memilih untuk bersabar dengan salah satu daripada keduanya. Dan apabila hamba itu terkenang kepada janji-janji Tuhannya, maka datanglah imannya dan larilah waswas syaitan tersebut.”

Kedua

Bisikan yang mendorong syahwat untuk melakukan maksiat kepada ALLAH. Bisikan ini mampu dilawan dengan ilmu dan kefahaman sesungguhnya perbuatan tersebut adalah maksiat kepada ALLAH.

Ketiga: Bisikan kepada sesuatu perkara yang berlegar-legar dalam kepala. Bisikan itu pada perkara yang selain daripada solat. Jika seseorang manusia itu mengingati ALLAH, maka mampulah dia melawannya. Namun, bisikan itu akan datang semula dan hanya dengan mengingati ALLAH sahaja dapat mengatasi bisikan tersebut. Rujuk: Ihya’ Ulum Al-Din (8/1416-1418)

Penyelesaian

Berdoa memohon pertolongan daripada ALLAH

Setiap hamba dituntut untuk berlindung dan meminta pertolongan daripada ALLAH Yang Esa. Ini kerana ALLAH amat suka hamba-Nya yang sentiasa meminta pertolongan daripada-Nya. Ini jelas berdasarkan kepada ayat dalam Surah Al-Baqarah: 186

Sentiasa mendampingi ulama dan orang soleh

Penekanan kepada pemilihan rakan taulan yang baik penting dalam aspek kehidupan seseorang kerana ia mempengaruhi akhlak dan adab seseorang itu dalam bermuamalah.

Justeru, teman yang baik dan soleh akan sentiasa mendorong seseorang itu untuk melakukan ketaatan kepada ALLAH maka sebaliknya teman yang buruk akhlaknya akan membawa kepada melakukan kemaksiatan dan prasangka yang buruk kepada ALLAH.

BACA JUGA:  Inilah Doa Untuk Melembutkan Hati Seseorang Dari Jarak Jauh

Sentiasa melazimi dan mendalami ilmu agama

Dalam isu ini, penekanan kepada pemilihan guru yang mursyid harus dititikberatkan bagi mencapai kefahaman maksud ilmu yang sebenar.

Kesilapan memilih guru yang sebenar sejak mula akan memberi kesan yang buruk terhadap keperibadian seorang penuntut ilmu.

Selain itu, penekanan kepada ilmu syariat juga penting kerana ia adalah tunjang dan satu ilmu teras yang wajib dikuasai setiap orang Islam.

Justeru, ilmu-ilmu yang lain yang dianggap sebagai fardu kifayah perlu dituntut namun penekanan yang lebih harus diberikan kepada ilmu syariat.

Sentiasa melazimkan zikir kepada ALLAH dalam apa jua keadaan

Berzikir amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim kerana amalan tersebut dapat melawan segala bisikan syaitan yang datang dalam diri mereka.

Dengan melazimkan zikir, ia dapat menjadi benteng dan melindungi kita dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH.

Sentiasa optimis dalam setiap amalan harian

Umat Islam diseru untuk fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan sehari-harian. Ini kerana fokus dan tumpuan yang jitu dapat mengelakkan fikiran kita daripada bercelaru seterusnya membawa kepada waswas.

Waswas ketika solat

Menurut Imam Nawawi, antara kelebihan yang akan diperoleh oleh sesiapa yang berwuduk dengan sempurna lalu sembahyang dua rakaat maka dia akan dijauhi daripada bisikan syaitan dan waswas. Rujuk: Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah (43/149).

Hal ini dapat dilihat berdasarkan sabda Nabi SAW; Daripada Khalid Al-Juhani RA, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia bersolat dua rakaat dan tidak lalai ketika mengerjakannya (wuduk dan solat), maka diampunkan baginya dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Abu Daud (905).

BACA JUGA:  Inilah Kelebihan Berwuduk Sebelum Tidur

Kesimpulan

Kami berpandangan penyakit waswas adalah satu perkara yang mampu diubati.Sifat prihatin dan mengambil cakna kepada cara-cara untuk mengatasi dan melawan penyakit waswas ini perlu ditekankan, agar dilindungi daripada tipu daya syaitan.

Seterusnya marilah sama-sama kita berdoa memohon perlindungan daripada ALLAH daripada godaan syaitan yang tercela kerana hanya ALLAH tempat kita memohon perlindungan dan penyembuhan daripada sebarang penyakit. Sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Syu’ara’ ayat 80.

Sesungguhnya, penyakit dan penyembuhan itu adalah daripada ALLAH semuanya. Kedua-duanya itu terjadi disebabkan qadak dan qadar ALLAH kepada hamba-Nya. Penyakit di sini menunjukkan kepada penyakit zahir (tubuh badan) dan penyakit batin (dalaman). Rujuk: Tafsir Al-Munir (19/168).

Semoga memberi manfaat.

sumber: sinarharian

1 thought on “Waswas, Penyakit Pada Akal Manusia Dari Bisikan Syaitan”

Leave a Comment

15 − twelve =