Bangga Tayang Body Cantik Di Gim, Hati-hati Jangan Tambah Dosa Bila Orang Lain Pandang Dengan Syawat

LELAKI bertubuh sasa yang tidak mengenakan baju ketika bergambar merupakan satu pemandangan biasa di media sosial pada hari ini.

Malah, ramai lelaki yang mempunyai six pack tanpa segan silu menunjukkan bentuk tubuh masing-masing sambil membuat video sedang bersenam di gim.

Persoalan tentang perbuatan itu turut diajukan kepada mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman web Maktabah Albakri.

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Seri. Bolehkah seseorang lelaki menayangkan atau mendedahkan six pack, lalu ia dilihat oleh kaum wanita? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Umumnya, Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan aurat. Bukan sahaja di dalam solat, bahkan juga di luar solat yang melibatkan interaksi sesama manusia dalam kehidupan seharian.

Allah berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka. [Surah al-Nur: 30]

Ayat di atas merupakan perintah daripada Allah kepada Nabi agar berpesan kepada orang lelaki beriman supaya menundukkan pandangan mereka daripada wanita dan aurat yang tidak halal buat mereka.

Begitu juga memelihara kemaluan mereka daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah seperti zina, liwat, mendedahkan aurat dan lain-lain. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka.

Dalam menjawab soalan di atas, apabila Islam hanya membataskan aurat lelaki sesama lelaki bahagian tubuh di antara pusat dan lutut, ia tidaklah bermaksud seseorang lelaki itu dibenarkan untuk memperlihatkan bahagian dadanya mahupun bahagian six pack di hadapan lelaki lain, apatah lagi di hadapan wanita.

Sekalipun bahagian dada dan six pack lelaki tidak dikira sebagai termasuk dalam auratnya, tetapi tindakan memperlihatkannya tanpa sebarang sebab adalah suatu tindakan yang tidak sopan, boleh menjatuhkan maruahnya, dan termasuk dalam perbuatan orang fasik.

Tambahan lagi, salah satu perkara yang perlu difahami adalah jika sesuatu perkara yang dibolehkan, tetapi terhasil daripada perkara tersebut kerosakan, maka ia dilarang untuk dilakukan disebabkan oleh kerosakan yang mungkin terhasil daripadanya.

Justeru, jika perbuatan mendedahkan dada atau six pack lelaki menjadi sebab kepada timbulnya fitnah atau membuka pintu/ruang kepada keburukan dan kejahatan, maka ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan disebabkan faktor-faktor tersebut.

Ini juga adalah sebagai mengambil langkah Sadd Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Kesimpulan:

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika bahagian six pack yang didedahkan itu berada di atas pusat, maka ia belum lagi dikira mendedahkan aurat kerana aurat lelaki adalah bahagian yang berada di antara pusat dan lututnya mengikut jumhur ulama.

Sekalipun begitu, perbuatan sengaja mendedahkan bahagian six pack tanpa sebarang keperluan bukanlah suatu perbuatan yang elok.

Bahkan boleh menjatuhkan maruahnya sebagai seorang lelaki Muslim yang sopan dan beradab, terutamanya dalam konteks budaya dan masyarakat Islam dalam negara kita.

Oleh yang demikian, menjauhi daripada perbuatan sengaja mendedahkan bahagian six pack tanpa sebarang keperluan adalah lebih baik dan jauh daripada fitnah.

Manakala bagi perempuan yang melihatnya pula, kami berpendapat bahawa tidak mengapa jika ia tidak disertai dengan syahwat.

Akan tetapi jika ia disertai dengan syahwat, maka hukum melihatnya adalah haram.

Meskipun begitu, mengelakkan diri daripada melihatnya, sekalipun tanpa disertai dengan syahwat adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf mereka yang menghukumkannya sebagai haram serta jauh daripada fitnah.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan kepada semua, tidak kira lelaki mahupun perempuan, agar sentiasa memelihara diri masing-masing dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan tohmahan kepada diri mereka sekali gus mencemarkan maruah dan imej sebagai seorang Muslim dan Muslimah.

Ingatlah, sebelum melakukan sesuatu tindakan atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama.

Leave a Comment

twenty − 17 =