Apa Yang Sedang Berlaku di Arab Saudi Ketika Ini?

pewaris raja saudi selfie dengan orang ramai

Pasti ramai yang mengikuti pergolakan yang sedang berlaku di Arab Saudi ketika ini. Untuk memahami krisis yang melanda Arab Saudi agak sukar, kerana kisahnya agak panjang jadi berikut adalah fakta-fakta penting berkenaan krisis politik Arab Saudi.

Majoriti berpendapat semua ini berpunca dari tindakan Putera Mohammed bin Salman mahu mengukuhkan kuasanya sebelum dia menaiki takhta kerajaan Arab Saudi. Menteri Pertahanan paling muda di dunia pada usia 32 tahun, dia menjadi pewaris kepada kerajaan Arab Saudi secara rasmi pada bulan Jun 2017.

Putera Mohammed sudah banyak kali menyatakan yang dia akan membersihkan Arab Saudi daripada korupsi yang telah lama berlaku, mengurangkan pengaruh Iran di Timur Tengah dan juga meminimakan kebergantungan ekonomi Arab Saudi pada minyak.

PERLETAKAN JAWATAN PERDANA MENTERI LEBANON

perdana menteri lebanon

Langkah pembersihan Putera Mohammed bermula dengan perletakan jawatan Perdana Menteri Lebanon, Saad al-Hariri yang menyebabkan politik Lebanon bergolak.

Saad al-Hariri adalah sekutu kuat Arab Saudi dan salah seorang ahli politik Sunni paling berpengaruh di Lebanon. Dalam kerajaan Lebanon yang dipimpinnya, kerajaan Lebanon terdiri daripada kerajaan campuran yang juga disertai oleh Hezbollah, kumpulan militan yang disokong kuat pihak Iran.

Arab Saudi dan Iran memang sudah lama berusaha menjadikan Lebanon sebagai proksi negara mereka dan Saad al-Hariri kerap dikatakan seorang ‘ejen Saudi’ di dalam kerajaan Lebanon. Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila Saad al-Hariri membuat pengumuman perletakan jawatan dari Riyadh, Arab Saudi atas dakwaan terdapat cubaan membunuh beliau.

Saad juga menuduh Iran melalui Hezbollah cuba menimbulkan kekacauan pada kestabilan politik Lebanon, dengan tindakan Hezbollah dilihat sebagai cuba melahirkan satu negara baru dalam Lebanon.

Presiden Lebanon, Michael Aoun menolak perletakan jawatan tersebut selagi tidak dibuat di dalam negara Lebanon sendiri dan wakil Hezbollah, Hassan Nasrallah menuduh perletakan jawatan itu sebagai satu arahan Arab Saudi oada Saad al-Hariri.

KONFLIK ARAB SAUDI DAN IRAN

tunjuk perasaan iran

Pada 5 November 2017, kerajaan Arab Saudi mengumumkan yang mereka telah berjaya menembak jatuh peluru berpandu yang sedang menuju ke Riyadh. Pihak Houthi yang beroperasi di Yemen dalam melawan pengaruh Arab Saudi ke atas Yemen, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Setelah dianalisa, peluru berpandu tersebut didapati dibuat di Iran serta diseludup masuk ke Yemen bagi digunakan oleh kumpulan Houthi dalam menentang Arab Saudi. Kerajaan Arab Saudi mengumumkan yang mereka menganggap tindakan Iran menyeludup masuk peluru berpandu itu sebagai satu bentuk pengisytiharan perang dan akan bertindak balas.

Pada 7 haribulan November 2017, kerajaan Arab Saudi mengumumkan tuduhan mereka ke atas kerajaan Lebanon dan mengecam gerakan Hezbollah. Menteri Arab Saudi, Thamer al-Sabhan berkata tindakan agresif Hezbollah dianggap sebagai satu ancaman pada kerajaan Arab Saudi serta diambil sebagai satu bentuk pengistiharan perang oleh kerajaan Lebanon kepada Arab Saudi.

Beliau menggesa rakyat Lebanon supaya memilih untuk mengekalkan keamanan atau terus melantik Hezbollah yang pro-Iran dalam kerajaan mereka.

PEMBERSIHAN POLITIK DALAMAN

pintu gerbang ritz carlton riyadh

Putera Mohammed bin Salman memang sejak dulu gemar mengkritik pengaruh Iran di Timur Tengah dengan pengikut-pengikut beliau sudah memulakan kempen anti-Iran dalam beberapa bulan ini. Dikatakan, kesemua yang berlaku ini adalah perancangan Putera Mohammed yang bertindak selaku Menteri Pertahanan Arab Saudi.

Selain daripada mengekang pengaruh luar, Putera Mohammed juga melakukan pembersihan dalam negara. Putera Mohammed telah menangkap kebanyakan seteru politik beliau yang dikatakan mengamalkan korupsi. Ahli politik dan pegawai kerajaan itu ditahan di hotel Ritz Carlton Riyadh . Ritz Carlton juga mengumumkan yang mereka tidak menerima sebarang tempahan sehingga 1 Disember 2017.

Mereka yang menginap di Ritz Carlton semasa proses tahanan berlangsung di minta mengemaskan barang-barang, berkumpul di lobi dan dihantar ke hotel lain bagi mengosongkan hotel tersebut. Pegawai Arab Saudi memberi keterangan yang tindakan menggunakan hotel diambil kerana keselamatan mereka yang ditahan lebih selamat di situ, berbanding dengan fasiliti penjara.

Dua putera Saudi telah terkorban dalam insiden ini. Putera Aziz al-Fahd, anak bongsu kepada Raja Fahd terkorban dalam pertempuran di antara pengawalnya dan pasukan keselamatan yang diarahkan menangkap beliau sementara Putera Mansour al-Muqrin, anak kepada bekas pewaris kerajaan Arab Saudi, Muqrin bin Abdulaziz Al-Saud, meninggal dunia dalam satu nahas melibatkan helikopter beberapa hari lepas.

REFORMIS MUDA ARAB SAUDI

mohammed bin salman pewaris saudi

Pihak pengkritik menganggap tindakan Putera Mohammed bin Salman ini hanyalah satu langkah pengukuhan kuasa dalaman dengan menggunakan Iran sebagai punca kepada masalah. Walaupun begitu, banyak juga pendapat menganggap yang gerakan reformasi Putera Mohammed ini adalah satu tindakan yang akan membawa Arab Saudi seiring dengan negara-negara lain di dunia.

Berjiwa muda, Putera Mohammed dilihat cuba menjadikan Arab Saudi lebih terbuka dengan dunia luar dan tidak terlalu bersikap konservatif. Selepas perlantikan beliau sebagai Putera Mahkota pada pertengahan tahun ini, aktiviti-aktiviti seperti rancangan komedi serta pertandingan trak gergasi diwujudkan. Wanita pula akan dibenarkan masuk ke stadium bermula tahun depan secara rasmi. Sambutan hari kebangsaan Arab Saudi beberapa bulan lepas juga menyaksikan wanita dibenarkan ke stadium buat pertama kali. Mulai Jun 2018 pula, golongan wanita akan dibenarkan memandu.

Apa yang masih menjadi tanda tanya ketika ini adalah adakah reformasi yang sedang digerakkan oleh Putera Mohammed bin Salman ini akan berhasil? Persoalan lebih besar pula melibatkan kemungkinan terjadinya perang di antara Arab Saudi dan Iran akibat pengaruh Putera Mohammed ini. Walaupun peluang peperangan tercetus masih dilihat rendah, tahap kesihatan Raja Salman yang semakin menurun mungkin mempercepatkan kenaikan Putera Mohammed ke takhta kerajaan Arab Saudi.

Adakah agenda anti Iran yang telah beliau yang telah dilaungkan selama ini akan mencapai ke satu tahap yang lebih tinggi?

Leave a Comment

fourteen + 10 =