Cucu Manja Dengan Tok Umur 93 Tahun Masih Kuat Ingatan Mengaji dan Mahir Tajwid

Walaupun usia menghampiri satu abad, namun ingatan mengaji seorang nenek begitu kuat dan masih mampu menghafal surah-surah al-Quran.

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial, wajahnya cukup tenang ketika menghafal surah Al-Masad.

Seorang cucu yang membuat rakaman itu berkata, neneknya, Zainab Abu Bakar, 93, bukan sahaja masih mampu mengaji, malah boleh mengajar anak-anak kecil membaca al-Quran.

Menurut Abdul Mutalib Abdul Mubin, 32, neneknya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu merupakan seorang guru dan berpengalaman sebagai tukang jahit untuk menyara keluarga.

Umur 93 Tahun Masih Kuat Ingatan Mengaji

“Tahun ni umur nenek saya berusia 93 tahun, Alhamdulillah dia masih boleh mengaji dengan baik dan memang masih kuat ingatan mengaji nya. Syukur nenek tiada masalah penglihatan seperti rabun yang teruk.

“Pada usia begitu, nenek tak nyanyuk. Ingatan mengaji nya masih kuat. Ramai yang khatam mengaji al-Quran dengan nenek., mereka panggil Tok Mengaji.

Nenek Zainab masih bertenaga dan kuat ingatan mengaji nya.

Upah Mengaji

Mesra disapa Mutalib, dia turut berkongsi tentang dirinya yang turut dididik mengaji sehingga khatam pada usianya enam tahun.

“Masa kecil, nenek kasi saya upah 50 sen hari-hari untuk tarik minat saya belajar mengaji dengan dia. Masa tu kanak-kanak kan, memang teruja dapat upah. Tapi lama-kelamaan saya sendiri yang seronok nak mengaji.

“Disebabkan nenek mengajar, saya jadi pandai mengaji. Saya faham tajwid, mahir cara bacaan al-Quran, Alhamdulillah,” ujarnya sambil menambah neneknya dikenali dalam kalangan penduduk di sekitar Bandar Tun Hussein Onn di Cheras, Selangor kerana kebolehannya membaca dan kuat ingatan mengaji al-Quran.

Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: “. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah cara yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya

Nenek Garang Tapi Penyayang

Tidak dinafikan wajah nampak garang, tapi kata Mutalib, neneknya yang mempunyai tiga anak, 10 cucu dan 10 cicit itu sebenarnya mudah mesra dan penyayang.

“Nenek sangat penyayang, malah saya banyak belajar daripada nenek tentang kasih sayang, ihsan dan bersimpati serta membantu orang lain.

“Nenek punya sweet tu sampai ke bini saya pun dia sangat mengambil berat macam mana dia menjaga saya selama ni,” katanya mengenai isterinya yang mengusahakan bisnes khat digital.

Menjaga Kebersihan

Menurut pengusaha bisnes bekalan makanan laut itu, neneknya juga sangat mengambil berat dan menitikberatkan tentang kebersihan.

“Sedangkan apabila saya nak solat pun nenek tolong bentangkan sejadah. Selalunya orang muda buatkan untuk orang tua, tapi nenek buat macam tu sebab dia tahu saya nak solat.

“Mengemas tak usah cakaplah, orang kata jangan kemas, tapi dia buat juga. Paling penting nenek amat menjaga waktu solat. Sebelum masuk waktu solat, dia dah standby,” ujarnya yang juga merupakan seorang model di pentas peragaan.

Perkongsian Menjadi Teladan

Dia berharap dengan perkongsian video yang dimuat naiknya di laman sosial dapat memberi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat terutama anak-anak muda.

“Kita patut ambil perkara yang positif berbanding negatif. Memang ada anak muda yang boleh mengaji, tapi belum tentu membaca dengan baik mengikut tajwid dan sebagainya. Kadang kala ingatan mengaji pun sudah banyak terlupa walaupun masih muda.

“Kita yang muda-muda patut rasa segan dan buka minda kita untuk turut sama belajar mengaji seperti nenek. Maka belajar mengaji daripada sekarang,” katanya lagi.

Bagi seorang yang baru mula belajar membaca Al-Quran, kesusahan dan kepayahan dalam mengenali setiap hukum dan bacaan itu, pasti ada.

Namun, dengan berkat kesabaran dan konsisten dalam belajar mengaji Al-Quran mendapat ganjaran yang sewajarnya seperti dalam sebuah hadis daripada `Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

Leave a Comment

thirteen − 12 =