Tidak Akan Bergerak Kaki Anak Adam Di Akhirat Kelak Sebelum Ditanya Empat Perkara!!

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Tidak akan terlepas kedua kaki seorang anak Adam itu semasa (berada di Padang Mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan;

# Pertama: Tentang umurnya, dimanakah dihabiskan;

# Kedua: Tentang ilmunya, apakah diamalkan dengannya;

# Ketiga: Tentang hartanya, bagaimana diperolehi dan bagaimana digunakan;

# Keempat: Tentang kesihatannya, bagaimana digunakan.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi No. 2417)

Seperti yang kita sedia maklum bahawa akhirat nanti adalah tempat di mana segala perbuatan kita di atas dunia ini akan dipertanggungjawabkan satu persatu.soalan semasa di hari pertimbangan, soalan di akhirat, soalan perbuatan semasa di dunia, nikmat Allah yang disyukuri, bersyukur dengan nikmat Allah

Namun di atas dunia lagi, Rasulullah SAW telah memberitahu kita mengenai ‘soalan-soalan bocor’ yang pasti ditanya pada setiap manusia sebelum mereka masuk ke dalam syurga atau neraka.

Jika kita amati soalan-soalan ini, mungkin ada yang sudah terfikir akan jawapannya. Biar sehebat dan sebijak mana pun kita di dunia ini dalam bercakap, berbahas mahupun berpidato; jangan sesekali kita lupakan firman Allah SWT ini:-

“Pada hari ini, Kami tutup mulut-mulut mereka dan tangan-tangan mereka akan bercakap (mengakui segala amalan-amalan yang dilakukan di atas dunia) serta kaki-kaki yang menjadi saksi atas apa yang mereka lakukan.” (Surah Yasin (36) ayat 65)

# Cuba kita lihat pada perkara pertama yang ditanyakan, iaitu soal nikmat umur yang diberikan. Tidak kiralah sependek atau sepanjang mana pun jangka hayat kita, perlu diperhalusi sama ada kita telah menghabiskannya dengan ‘ubbudiyyah (penghambaan) kepada Allah SWT atau kepada kesenangan duniawi?

Renungi kembali sebaik mana masa itu dimanfaatkan bagi melengkapkan diri dengan ilmu agama dan tidak membazirkannya untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah langsung, malah lebih teruk dengan jika dihabiskan dengan timbunan maksiat.

# Kemudian pada soalan kedua yang khusus pada golongan berilmu. Allah SWT telah mengingatkan dengan begitu jelas:-

“Amat besarlah kemurkaan Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu amalkan.” (Surah as-Saff (61) ayat 3)

BACA JUGA: 10 Pintu Yang Boleh Dimasuki Syaitan Di Alam Nyata

Ilmu yang benar-benar bermanfaat buat kita adalah ilmu yang diamalkan demi mencari keredhaan Allah SWT. Cuba lihat pada penyelidik Barat (Orientalis) yang mengkaji tentang Islam.

Biarpun ada di antara mereka yang menghafal al-Quran serta terjemahannya, ia tidak menyelamatkan mereka di akhirat nanti. Ini kerana ilmu itu digunakan semata-mata untuk mencari kelemahan wahyu milik Allah SWT.

Begitu juga dengan para ulama’ al-su’ (ulama’ yang jahat) yang terdiri daripada ahli-ahli agama yang hanya menggunakan nama Islam untuk tujuan kesenangan di dunia.

Mereka lebih arif berfatwa demi mengelirukan umat Islam bahkan mengaburkan sempadan halal dan haram demi kepentingan pihak-pihak tertentu.

Tidakkah kita tahu suatu masa dahulu, Iblis adalah salah satu mahkluk Allah SWT yang tinggi taraf ilmunya melebihi para malaikat. Namun, ilmu yang dimilikinya itu membuatkan ia sombong kepada Allah SWT lalu menyebabkannya menjadi sesat dan menyesatkan pula.

# Beralih pula pada soal yang ketiga iaitu dari mana sumber harta yang kita perolehi dan ke mana pula ia dibelanjakan. Kita semua tahu apa itu halal dan haram. Setiap aspek dalam kehidupan kita dibatasi dengan kedua-duanya.

Namun dalam dunia masakini yang mana manusia berlumba-lumba mengejar kesenangan dunia; satu prinsip lain pula telah timbul iaitu matlamat menghalalkan cara. Mungkin kita terlupa bait-bait doa iftitah yang kita baca dalam solat setiap hari:-

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.”

Harta terbaik datangnya dari sumber yang halal dan bersih dari unsur-unsur syubhah. Bahkan kita perlu ingat, walaupun harta yang kita perolehi itu adalah halal tetapi cara kita menggunakannya juga perlulah ke jalan yang halal lagi baik. Barulah hidup jadi lebih berkat di dunia dan di akhirat.

# Yang terakhir, soalan keempat adalah mengenai kurniaan tubuh badan sihat yang kita manfaatkan.

Rasulullah SAW sendiri pernah mengatakan dalam sebuah hadith yang agak mahsyur:-

“Ada dua kenikmatan yang banyak membuatkan manusia tertipu; iaitu nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari No. 6412)

Ramai manusia yang kurang bersyukur bila dikurniakan nikmat sihat lebih-lebih lagi sewaktu kita masih muda. Adakalanya kita lalai dari mengerjakan ibadah bahkan bermunajat kepada Allah SWT. Hanya apabila kita sudah jatuh sakit, barulah kita beria-ia hendak mengingati Allah SWT.

Ada pula yang bangga akan dirinya tidak pernah jatuh sakit, membuatkannya agak takbur kepada Allah SWT sepertimana yang dilakukan oleh Firaun.

# Oleh itu, bayangkan nasib kita apabila ditanyakan empat ‘soalan bocor’ ini nanti di hadapan Allah SWT. Sudahkah kita sediakan jawapan yang terbaik untuk Allah SWT nanti?

Ingatlah, berjaya atau gagal……segalanya terpulang pada kita. Wallahua’lam

BACA JUGA: Baca Surah Ini Agar Terselamat Dari Kecurian & Kehilangan Serta Terjauh Dari Fakir

Leave a Comment

20 − one =