Home All Kisah Teladan Kisah Sahabat Nabi Yang ‘Ditakuti’ Doanya

Kisah Sahabat Nabi Yang ‘Ditakuti’ Doanya

1139
0

Imam Bukhari dan Muslim serta Baihaqi meriwayatkan dari Abdul Malik bin Umair bahawa Jabir ra berkata: Ada sesetengah orang di Kufah mengadu kepada Umar tentang perbuatan Saad bin Abi Waqqas semasa menjadi wakil Khalifah di Kifah, Iraq.

Umar mengirim utusannya ke kufah untuk menyiasat kebenaran aduan itu. Utusan itu pun menjalankan tugasnya di merata Kufah dan menerima jawapan orang ramai bahawa Saad telah menjalankan tugasnya dengan baik dan memuaskan.

Utusan itu kemudian bertemu dengan seorang lelaki yang berkata: “Aku bersumpah bahawa Saad tidak berlaku adil dalam urusannya kepada orang ramai dan dia enggan keluar untuk berjihad.”

Bila tuduhan orang itu di sampaikan kepada Saad beliau berdoa: “Ya Allah, jika orang itu benar matikan dia dengan segera, dan jika dia berdusta panjangkan umurnya dalam kekafiran dan fitnah.”

Kisah Sahabat Nabi Yang 'Ditakuti' Doanya 1

Kata Ibnu Umair: “Aku lihat orang itu hidup sampai lanjut umurnya, hidupnya melarat, akhlaknya terlalu buruk, dia dikutuk orang ramai kerana suka menganggu wanita dijalanan.

Bila orang bertanya kenapa dia berkelakuan demikian, dia menjawab: “Aku ditimpa doa Saad.”

Thabrani, Ibnu Asakir dan Abu Nu’aim meriwayatkan dari Abi Qubaisah yang berkata: “Ada seorang lelaki suka mengejek Saad bin Abi Waqqas.

Bila ejekan orang itu didengar oleh Saad beliau berdoa: “Ya Allah, aku memohon agar dihentikan gangguan lisan dan tangan orang ini terhadapku menurut pertimbanganmu.”

Orang itu, kemudian ikut serta dalam peperangan Qadisiyah di Parsi dan mendapat cedera parah di tangan dan lidahnya. Sejak kejadian itu, sehingga orang itu meninggal, dia tidak lagi dapat berkata-kata.

Diriwayatkan dari Abdul Rahman bin Auf bahawa ada seorang wanita yang cuba mengoda dan mengganggu Saad. Walaupun telah diberikan amaran beberapa kali tetapi dia tetap mengganggu Saad, akhirnya Saad berdoa: “Ya Allah palingkan muka wanita itu.”

Tidak lama selepas itu, muka wanita itu terpusing ke belakang dan tidak dapat berpaling ke depan lagi.

Al-Hakim meriwayatkan bahawa Musab bin Saad berkata: “Pernah Saad mendoakan orang yang sangat menyakitinya hingga orang itu terbunuh oleh seekor unta. Sejak itu, Saad tidak mahu mendoakan apa-apa lagi kepada sesiapa.

Al Hakim juga meriwayatkan dari Ibnu Musab bahawa Marwan bin Hakim pernah berkata kepada Saad: “Harta ini adalah harta kami dan kami berhak mendapatkannya kepada siapa yang kami suka.

Mendengar perkataan Marwan itu, Saad pun mengangkat tangannya sambil berkata kepada Marwan: “Mahukah kamu jika aku doakan untuk membuktikan kesalahan kata-katamu itu?

Marwan terburu-buru melarang sambil berkata: “Harta ini adalah harta Allah.”

Imam Thabrani meriwayatkan dari Amir bin Saad bahawa pada suatu hari Saad mendengar seorang lelaki mencela Ali, Thalhah dan Zubir bin Awwan. Saad pun berkata kepadanya: “Demi Allah, kamu telah mencela orang-orang yang telah menyahut panggilan Allah.

Jika kamu tidak berhenti mencela mereka aku akan doakan musibat ke atasmu.”

Orang itu menjawab: “Aku percaya kamu hanya hendak menakutkan aku seolah-olah engkau nabi.”

Saad pun mendoakan seksaan yang bakal diterima oleh orang itu. Orang yang menyaksikan seksaan yang diterima oleh orang itu segera mengejar Saad dan menyampaikan khabar: “Hai Saad, doamu telah dimakbulkan Allah.”

Daripada riwayat yang banyak tentang kelebihan doa Saad bin Abi Waqqas, jelaslah doa beliau sentiasa dikabulkan Allah.

Perkara ini berlaku kerana Allah telah memakbulkan doa Rasullulah SAW yang (kasihnya kepada saad) telah berdoa: “Ya Allah jika Saad memohon kepadaMu terimalah doanya. Diriwayatkan oleh Tirmizi dan Al-hakim.

Dalam satu riwayat oleh Abu Nu’aim dari Ibnu Dafiliy, bahawa ketika Saad memimpin pasukan tentera Islam untuk memerangi musuh di tanah Parsi, beliau melihat perahu-perahu yang biasanya banyak tersadai di tepi sungai Dajlah telah dirampas dan dilarikan musuh.

Tentera Islam terpaksa menunggu di tepi sungai itu selama beberapa hari. Perkara ini menyedihkan hati Saad. Pada suatu malam beliau bermimpi melihat kuda tentera muslimin menyeberangi sungai Daljah.

Kebenaran mimpi itu diuji oleh Saad lalu beliau menyuruh setiap orang dalam pasukannya membaca;

“Kami memohon pertolongan dari Allah. Kami berserah kepada Allah. Pelindung kami adalah Allah. Dia adalah sebaik-baik tempat menyerah diri. Tiada daya dan kekuatan selain dari Allah yang Maha Tinggi dan Agung.”

Dengan zikir itu Saad memerintahkan tenteranya menyeberangi sungai Dajlah dengan menunggang kuda. Dengan izin Allah kuda tentera Islam berjaya melawan arus deras sungai Dajlah dan terus menyerang kedudukan musuh yang tidak bersedia kerana tidak menduga sungai itu boleh diseberangi tanpa perahu.

Abu Nu’aim meriwayatkan dari Hubaib bin Suhban bahawa tentera Parsi yang menyaksikan tentera muslim yang berkuda menyeberangi arus sungai itu seolah-olah melihat mereka berjalan di atas air.

Lalu mereka melarikan diri kerana menyangka musuh yang datang menyerang itu bukan tentera manusia tetapi tentera jin yang menyerupai manusia.

Kisah Sahabat Nabi Yang 'Ditakuti' Doanya 2

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here