Kata-Kata ‘Aku Tidak Tahu’ Adalah Lambang Ketakwaan Kepada Allah SWT

Menurut Imam al-Munawi, berkata ‘aku tidak tahu’ merupakan lambang ketakwaan kepada Allah SWT dan membuktikan kesempurnaan ilmu seseorang itu. Malah, ia menunjukan kuatnya pegangan agama dan mempunyai keikhlasan niat yang tinggi dalam menjaga amanah ilmu. Oleh itu, menurut Imam al-Muhasibi, janganlah merasa malu untuk berkata ‘aku tidak tahu’ terhadap perkara yang tidak diketahui. Lebih-lebih lagi dalam urusan agama Islam.

Dilaporkan, imam-imam besar seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad pernah didatangi orang ramai untuk bertanyakan soalan berkaitan hukum-hakam. Walaupun dimaklumi mereka adalah imam besar yang sangat berilmu, namun mereka hanya menjawab beberapa soalan sahaja, selebihnya mereka menjawab ‘aku tidak tahu’. Sikap terpuji para imam ini menunjukan mereka bersifat tawaduk serta sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu fatwa.

Malangnya, sebilangan umat Islam hari ini sangat gelojoh untuk mengeluarkan sesuatu fatwa atau pendapat, seolah-olah mereka mengetahui semua jawapan bagi setiap persoalan. Lebih parah, mereka merasakan jawapan mereka sahaja yang betul, walaupun bertentangan dengan pendirian para ulama. Mereka juga sanggup memperlekehkan pendapat orang lain yang lebih berautoriti semata-mata untuk mengangkat diri mereka di mata orang awam agar mendapat sokongan dan dipandang tinggi. Hakikatnya, sifat-sifat mazmumah sebegini bukanlah sifat seorang yang berilmu.

Dalam hal ini, Ibn Mas’ud RA berkata: “Demi Allah, sesungguhnya orang yang memberi fatwa pada setiap persoalan yang orang lain tanyakan kepadanya adalah orang gila”. Oleh itu, jika kita melihat seseorang yang mempunyai sifat buruk sebegini, kita perlu berhati-hati dan menjauhkan diri daripadanya. Kemungkinan sebahagian besar fatwa atau pendapat yang diberikannya itu adalah tidak tepat. Ini kerana, bukan semua perkara kita tahu.

Nasihat yang baik dari Imam Ibn ‘Abd al-Barr: “Belajarlah berkata ‘aku tidak tahu’, kerana jika engkau berkata demikian, orang pasti akan mengajar engkau sehingga engkau tahu. Sedangkan jika engkau sentiasa mengaku tahu semuanya, nescaya orang akan bertanya sehingga engkau tidak tahu”.

1 thought on “Kata-Kata ‘Aku Tidak Tahu’ Adalah Lambang Ketakwaan Kepada Allah SWT”

Leave a Comment

3 × 2 =