Kami nak surau, bukan bilik – Azwanddin

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 20 penduduk Kampung Kerinchi dan badan bukan kerajaan (NGO), Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini menolak tawaran pemaju hartanah, UOA Development yang memberikan sebuah bilik dalam sebuah bangunan untuk dijadikan surau.

Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah menegaskan, pemaju dari Singapura itu perlu menyediakan surau baharu di atas sebidang tanah bersebelahan bangunan mereka bagi menggantikan surau berusia lebih 50 tahun yang bakal dirobohkan.

“Ia menyedihkan, mereka membuat bangunan tinggi tapi hanya nak bagi sebuah bilik seluas 600 kaki persegi untuk umat Melayu Islam yang ada lebih 400 jemaah.surau kampung kerinchi, kampung kerinchi, penduduk kampung kerinchi, orang islam kampung kerinchi

“Kita menolak bilik tersebut, itu bukan surau pun, itu bilik, bila kita tanya adakah bilik wuduk dan tandas disediakan, mereka kata gunakan tandas sedia ada di lif.

“Saya fikir mereka perlu menghormati sensitiviti umat Islam Melayu yang ada di kawasan ini yang menuntut hak rumah ibadat mereka,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Menara Korporat UOA, Bangsar, di sini, hari ini.

Terdahulu, NGO itu bersama 20 penduduk Kampung Kerinchi membuat bantahan secara aman di luar bangunan pemaju hartanah tersebut kira-kira jam 11.05 pagi tadi.

Kehadiran mereka dipantau dan dikawal rapi oleh polis bantuan serta sepasukan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang membuat sekatan di pintu masuk utama bangunan UOA Group.

Bagaimanapun berlaku kekecohan hampir 10 minit apabila pihak berkuasa tidak membenarkan kumpulan itu memasuki ibu pejabat pemaju berkenaan dan hanya mensyaratkan tiga wakil mereka menemui pihak pengurusan tertinggi pemaju itu.

Terdahulu, Azwanddin bersama dua yang lain menemui seorang pegawai tertinggi UOA Development yang hanya dikenali sebagai Allen untuk menyerahkan memorandum bantahan merobohkan Surau Balai Islam Kampung Kerinchi.

Azwanddin juga berkata, pihaknya telah mencadangkan kepada pihak pemaju terbabit agar membina surau gantian tersebut di atas sebidang tanah bersebelahan bangunan mereka.

“Kita sudah beri cadangan tadi ada sebuah tanah di tepi bangunan tersebut yang dipanggil tanah hijau. Sayang sekali mereka tolak (permohonan) kami begitu saja.

“Kita tetap berkeras dan bertegas dengan UOA bahawa saya akan hadir lagi dengan masyarakat untuk meminta juga mereka membangunkan surau.

“Selagi surau ini tidak disediakan, kita tidak akan robohkan malah kita akan terus pertahankan surau berusia lebih 50 tahun ini,” tegasnya.

Azwanddin juga berasa kesal dalam pertemuan singkat dengan pihak pemaju hampir 30 minit itu pagi tadi tidak membuahkan hasil malah UOA Development menuding jari ke arah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ia agak mengecewakan sedikit Allen sentiasa menyalahkan DBKL. Kita boleh lihat dalam pembangunan Mid Valley mereka boleh sediakan kuil malah mencantikkan lagi kuil.

“Mereka hari ini tidak membuat sebarang keputusan pun malah terus menolak oleh Allen. Mereka memberi alasan hanya mengikut DBKL,” jelasnya.

Beliau berkata, tindakan pemaju yang mahu memberikan bilik seluas 600 kaki persegi itu dibuat pada saat akhir sebaik sahaja beliau dan NGO-NGO mahu menyerahkan memorandum, hari ini.

“Jangan hanya bagi bilik 600 kaki persegi, itu hanya melepaskan batuk di tangga. Bila kita tanya tempat wuduk dan bilik air, dia kata guna di lif. Ini kerja gila,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Leave a Comment

15 − 14 =