Ibu Bapa Juga Boleh Derhaka kepada Anak

Memang benar, berbakti kepada orang kedua ibu bapa adalah kewajiban bagi anak dan derhaka kepada ibu bapa adalah salah satu dosa besar dalam Islam. Tetapi jangan lupa bahawa Islam tidak melihat satu sisi saja lalu melupakan sisi lain.

Islam juga mewajibkan bagi orang tua untuk berbuat baik kepada anak-anaknya.

Jika ibu bapa mendidik anak-anak dengan betul mengikut gaya hidup Islam masalah anak derhaka dapat dikurangkan. Apabila anak derhaka kepada ibu bapa kita bising tetapi adakah kita telah mendidik anak-anak kita dengan betul? Didikan agama yang cukup? Apa kata kita lihat dahulu kisah di bawah ini. ibu bapa dera anak, penderaan anak, ibu bapa seksa anak, ibu bapa kasar pada anak, kata-kata kesat pada anak

Dipetik sebuah kisah dari kitab Tanbihul Ghafilin oleh Abul-Laits As-Samarqandi.

Pada suatu ketika di zaman Amirul Mukminin, Umar Al-Khattab r.a, seseorang telah datang menemui Khalifah Islam kedua itu untuk mengadukan hal anaknya;

“Anakku ini benar-benar telah derhaka kepadaku.” Kata si bapa.

Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya.

“Apakah engkau tidak takut kepada Allah dengan derhaka kepada bapamu? Kerana itu adalah hak orang tua,” kata Umar kepada si anak.

Anak itu menjawab;

“Wahai Amirul Mukminin, bukankah anak juga punya hak atas orang tuanya?”

Umar menjawab;

“Benar, haknya adalah memilihkan ibu yang baik, memberi nama yang bagus dan mengajarkan al-Kitab (al-Quran).”

Anak itu berkata;

“Demi Allah, bapaku tidak memilihkan ibu yang baik. Ibuku adalah hamba sahaya berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Ia tidak memberi nama yang baik untukku. Ia menamaiku Ju’al. Dan dia juga tidak mengajarkan Al-Quran kepadaku walau satu huruf pun dari al-Quran.”

BACA JUGA: 3 Amalan Anak Yang Menambah Kemuliaan & Pahala Ibu Bapa Mereka

(Nota : Ju’al adalah sejenis kumbang berwarna hitam yang selalu bergumul pada najis haiwan. Boleh juga diertikan seorang yang berkulit hitam dan berparas hodoh atau orang yang emosional).

Umar Al-Khattab r.a lantas menoleh kepada si bapa dan berkata;

“Engkau telah datang mengadukan anakmu telah derhaka kepadamu tetapi engkau yang telah derhaka kepadanya sebelum ia menderhakaimu!”

Iktibar dari kisah di atas, sebagai ibu bapa kita janganlah tergesa-gesa mencela anak sebagai derhaka. Ada banyak hak-hak anak atas ibu bapanya. Bila salah satu sisinya diabaikan, lalu anak menjadi derhaka dan keras kepala, ada kemungkinan ibu bapa tidak memperhatikan sisi tersebut.

Sekarang lebih ramai ibu bapa yang menderhaka kepada anak-anak kerana didikan agama tidak diberi secukupnya kepada anak-anak. Akibatnya lahirlah generasi lemah iman dan rosak akhlak di zaman moden pada hari ini.

Oleh itu, didiklah anak-anak sejak dari dalam kandungan lagi. Semoga generasi pewaris kita hidup dalam jalan yang diredhai oleh yang Maha Esa.

Ibnul Qayyim berkata; “Siapa yang mengabaikan pendidikan yang bermanfaat untuk anaknya dan membiarkannya begitu saja, maka ia telah melakukan tindakan terburuk terhadap anaknya itu. Kerosakan anak-anak itu kebanyakan bersumber dari ibu bapa yang membiarkan mereka dan tidak mengajarkan kewajipan-kewajipan agama kepada mereka. Mereka (anak-anak) tidak memperhatikan perkara-perkara agama di saat masih kecil, sehingga ketika sudah besar mereka sukar meraih manfaat dari pelajaran agama dan tidak dapat memberikan manfaat bagi ibu bapa mereka.”

Wallahu a’lam.

BACA JUGA: 10 Perkara Anak Perempuan Patut Tahu Setelah Masuk Usia 10 Tahun

Leave a Comment

eighteen − 8 =