Home All Keluarga 10 Perkara Anak Perempuan Patut Tahu Setelah Masuk Usia 10 Tahun

10 Perkara Anak Perempuan Patut Tahu Setelah Masuk Usia 10 Tahun

662
2

Memiliki anak perempuan pasti berbeza dengan anak lelaki. Lebih-lebih lagi apabila anda mempunyai hanya seorang anak perempuan sahaja. Bagi kaum ibu, anak perempuan lebih dekat dengan mereka. Anak perempuan ini bagaikan cermin bagi diri mereka. Pasti boleh berkongsi minat yang sama, bakat yang sama dan pendapat yang sama. Bagaikan kawan baik!

Terdapat beberapa perkara yang sepatutnya anak perempuan anda tahu sebaik sahaja mereka berusia 10 tahun. Penting bagi ibu bapa mengetahui perkara ini kerana pelajaran terbaik bermula dari rumah.

Berikut 10 perkara anak perempuan patut tahu setelah berusia 10 tahun :

1. Betapa anda menyayanginya

Tidak kira sebanyak mana anda berselisih pendapat dengannya, segarang manakah anda atau sesibuk manapun, pastikan dia tahu bahawa dia adalah insan yang terpenting bagi anda. Dan anda sangat menyayanginya sepenuh hati tanpa syarat.anak perempuan, mendidik anak perempuan, asuhan anak perempuan, anak perempuan umur 10 tahun, anak perempuan wajib solat

2. Bagaimana untuk memasak

Lumrah orang perempuan sepatutnya tahu memasak walau sekadar jenis masakan yang paling mudah. Sebagai persediaan apabila dewasa kelak. Sebaik sahaja berumur 10 tahun, anak perempuan anda sepatutnya sudah pandai menyediakan makanan yang mudah seperti roti bakar, telur atau sandwich.

Teringat sewaktu kecil, ibu anda sering membenarkan anda bermain dengan lebihan bahan masakannya. Anda akan berangan bagai sedang memasak. Lama kelamaan, menjelang 10 tahun, anda sudah pandai menggoreng sayur yang mudah. Waktu itu, seronok sangat perasaan. Bagaikan sudah mampu menggalas tanggungjawab yang besar.

3. Perubahan fizikal dan apa patut mereka tahu

Perubahan fizikal anak perempuan masih menjadi taboo dalam masyarakat kita. Kebanyakan ibu bapa segan untuk mendedahkan anak perempuan mereka berkenaan isu ini dan mengharapkan guru di sekolah yang ajar. Lebih baik sekiranya ibu bapa menjelaskan sendiri perkara ini berbanding mereka mendapat tahu dari kawan-kawan. Dikhuatiri, maklumat yang mereka peroleh adalah salah dan bersifat negatif.

Dedahkan pada anak perempuan anda bahawa suatu hari nanti mereka akan datang haid. Waktu itu menandakan mereka sudah dewasa. Anda sendiri semasa kali pertama didatangi haid, berasa takut dan terkejut. Tentu anda yakin, sekiranya diberi pendedahan lebih awal, anda akan lebih mudah menerima dan mengawal situasi tersebut.

Dedahkan pada anak perempuan anda akan perubahan fizikal yang akan berlaku apabila mereka memasuki usia remaja. Dan ingatkan pada dia jangan benarkan sesiapa pun menyentuh tubuh badannya walaupun ahli keluarga lain.

4. Batas-batas agama

Ramai ibu bapa percaya bahawa hal agama biarlah anak-anak belajar di sekolah. Sedangkan, sepatutnya, ibu bapa sendiri yang mendidik anak perempuan mereka akan batas-batas agama. Ibu bapa perlu menitik beratkan isu solat, aurat dan batas-batas pergaulan.

Tekankan pada pada anak perempuan anda, tentang betapa pentingnya menjaga nilai agama. Ini kerana dengan teguhnya ajaran Islam dan iman sejak kecil, anak perempuan anda akan lebih pandai menjaga diri di luar nanti. Dia akan lebih pandai membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Anda pasti tidak mahu anak perempuan anda menjadi orang yang hanya Islam pada nama sahaja. Mereka lahir dalam Islam tetapi nilai Islam tidak diketahui akibat kecuaian ibu bapa dan masyarakat sekelilingnya.

Namun begitu, ibu bapa perlu ingat, jangan hanya sekadar mendidik sebaliknya ibu bapa juga harus menjadi contoh yang baik pada mereka. Barulah lebih mudah untuk mereka ikuti. Anak adalah merupakan cerminan pada diri ibu bapanya.

5. Hakikat kehidupan

Usia 10 tahun sudah cukup untuk mereka mengetahui hakikat sebenar kehidupan. Tidak perlu isu yang berat-berat dan terperinci. Cukuplah sekadar yang dapat mereka fahami.

Sebagai contoh, isu Palestin di Gaza. Anak-anak tidak seharusnya diabaikan untuk memahami isu ini hanya kerana mereka dianggap masih muda. Jelaskan apa sebenarnya yang berlaku dan berikan mereka ruang untuk menyatakan pendapat mereka berkenaan isu ini.anak perempuan, mendidik anak perempuan, asuhan anak perempuan, anak perempuan umur 10 tahun, anak perempuan wajib solat

6. Tidak semua bernasib baik sepertinya

Anak perempuan anda patut tahu bahawa tidak semua orang bernasib baik sepertinya. Tidak semua rakan sebaya dengannya pernah merasa makan malam di restoran. Tidak semua rakan sebayanya mempunyai baju sekolah hampir 3 pasang. Tidak semua orang mempunyai anggota badan yang cukup sifat sepertinya.

Galakkan mereka bersedekah walaupun 20 sen sama ada di masjid, surau, tabung kemanusian atau di mana sahaja. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, cara ibu kita menggalakkan anak-anak bersedekah. Apabila ke masjid atau pasar, ibu akan memberikan wang untuk dimasukkan ke dalam tabung sambil menjelaskan kebaikan menderma.

Lama-kelamaan, anak-anak sendiri terdorong untuk meletakkan sedikit dari wang perbelanjaan sekolah. Kepuasan kerana dapat menderma dengan wang sendiri tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Latih anak anda bersifat sering ingin membantu rakan sebaya mereka yang dalam kesusahan.

Sesekali di hujung minggu, bawa anak perempuan anda ke rumah anak yatim, rumah orang tua atau zoo untuk menjadi sukarelawan. Selain dapat menghabiskan masa berkualiti bersamanya, anak anda akan memperoleh pengalaman baru sekaligus memupuk sifat suka membantu dalam diri mereka. Mulakan dengan perbuatan kecil, sebagai contoh, setiap kali lepas makan di restoran, cuba untuk mengemas serba sedikit agar memudahkan pelayan restoran mengangkatnya nanti.

Jika kita lakukannya, pasti anak-anak akan turut mengikut. Ingatkan pada anak-anak sekiranya kita sering membantu atau memudahkan urusan orang lain, insya Allah di masa hadapan Allah akan membantu dan memudahkan urusan kita melalui orang lain.

BACA JUGA: Ibu Bapa Perlu Soleh Dahulu Sebelum Mengharapkan Anak Mereka Menjadi Soleh

7. Setiap kemahuan harus diiringi usaha

Akhir-akhir ini, anak-anak sering dilimpahi dengan pelbagai kemewahan. Umur masih belum genap setahun, tetapi masing-masing mempunyai ipad sendiri. Apa sahaja yang diminta, pasti akan dipenuhi ibu bapa. Bukan satu kesalahan sebenarnya, memenuhi permintaan anak.

Kita sebagai ibu bapa, pasti mahukan yang terbaik buat mereka. Kita pasti mahukan mereka menikmati perkara yang tidak mampu kita perolehi dahulu. Tidak salah tetapi anak-anak perlu dijelaskan bahawa bukan mudah untuk mencari wang.

Didik anak-anak untuk menabung sejak kecil demi membeli barang yang mereka mahu. Apabila wang belanja sekolah diberi, galakkan mereka menyimpan sebahagian dari wang tersebut untuk masa hadapan. Selain itu, hadiahkan barang impian mereka, hanya apabila mereka berjaya mencapai pencapaian tertentu.

Sebagai contoh, hadiahkan basikal apabila mereka berjaya khatam 30 juzuk al-Quran. Atau apabila memperoleh tempat pertama dalam pelajaran. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih kuat berusaha. Jadikan mereka rasa bahawa setiap usaha mereka berbaloi dan membanggakan ibu bapa.

8. Penampilan adalah penting

Dia seharusnya tahu berkenaan bagaimana untuk menjaga penampilan dan pakaian yang sesuai untuk majlis atau acara tertentu. Sewaktu kecil, anda mungkin sering dipengaruhi dengan gaya dan penampilan abang-abang anda. Sehingga anda sering memberontak setiap kali dipakaikan baju kurung, kerana hati kecil anda terasa mahu memakai seluar dan t-shirt seperti abang.

Namun setelah dinasihatkan dengan lemah lembut oleh ibu, lama kelamaan anda boleh menerima bahawa tidak sesuai berpakaian seperti mereka. Berbincang dengan lemah lembut dan bertolak ansur dengan anak perempuan anda pasti boleh membuatkan mereka mudah menerimanya. Jangan dipaksa! Hati mereka akan mudah tersentuh dan mereka akan lebih terdorong untuk memberontak.

9. Pengaruh rakan sebaya

Lumrah perempuan, pasti akan ada banyak disertai drama. Beritahu anak perempuan anda supaya menjauhi kumpulan yang sibuk bercerita berkenaan orang lain kerana mereka pasti akan bercakap mengenai dia juga.

Pupuk sifat yakin pada diri dan tegas dengan pendirian sendiri. Dengan cara ini, anak perempuan anda tidak akan mudah terikut-ikut dengan rakan sebaya. Sekiranya anak perempuan kita tidak tegas pendirian, dia pasti akan mudah mengikut ajakan rakan.

Jangan lupa bahawa anak-anak penuh dengan sifat ingin tahu. Tidak mustahil mereka akan mudah terpengaruh hanya kerana sifat ingin tahu yang kuat. Didik anak perempuan anda supaya berani untuk melaporkan salah laku atau kes buli yang extreme berlaku disekelilingnya.

BACA JUGA: Amalan Makan Dalam Dulang Mampu Mengeratkan Silaturahim

10. Hidup bukan mudah

Anak perempuan anda perlu tahu bahawa akan banyak cabaran yang perlu dia hadapi semakin dia menginjak dewasa. Ada anak perempuan, yang kelihatan tidak sabar untuk menjadi dewasa. Sedangkan jauh sekali mereks ketahui hakikat hidup ini tidaklah seindah yang disangka. Hidup ini bagaikan roda, kekadang kita berada di atas dan kekadang kita berada di bawah.

Didik mereka supaya sentiasa bersyukur dan menghargai nikmat yang ada disekelilingnya sekarang. Ini kerana kita tidak tahu, selama manakah Allah meminjamkan nikmat tersebut pada kita. Pastikan mereka tahu, mereka harus sentiasa bersedia dengan dugaan yang bakal ditempuh kerana dugaan tersebut datangnya kerana kasihnya Allah pada diri kita.

10 Perkara Anak Perempuan Patut Tahu Setelah Masuk Usia 10 Tahun 1

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here