Adakah Tidak Menghalalkan Hutang Itu Anjuran Islam?

Sejak kebelakangan ini, terlalu ramai netizen yang berkongsi artikel-artikel di media sosial terutama Facebook berkenaan dengan anjuran supaya tidak menghalalkan hutang walaupun satu sen. Anjuran ini mendapat sokongan dan perkongsian yang sangat tinggi oleh rakyat Malaysia.

Mengapa disuruh tidak menghalalkan hutang oleh pemiutang kepada penghutang? Ia adalah kerana dikatakan orang yang berhutang akan berjumpa dengan pemiutang di akhirat kelak dan perlu memberikan pahalanya kepada pemiutang, bahkan mengatakan bahawa penghutang ini merupakan saham pemiutang di akhirat kelak.

Adakah ini anjuran Islam? Adalah lebih baik kita huraikan terlebih dahulu apa hukum berhutang.

Hukum berhutang dalam Islam

Berhutang dalam Islam adalah dibolehkan, tetapi perlu mengikut syarat-syaratnya.

Seperti firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 245:

مَنْذَاالَّذِييُقْرِضُاللَّهَقَرْضًاحَسَنًافَيُضَاعِفَهُلَهُأَضْعَافًاكَثِيرَةًوَاللَّهُيَقْبِضُوَيَبْسُطُوَإِلَيْهِتُرْجَعُونَ

Maksudnya:

“Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan meperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”

Dan sebagaimana dalam sabda Rasulullah S.A.W :

“Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin dari kedurhakaan dunia, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala akan melapangkan untuknya kedukaan akhirat”

Di sini jelas hukum berhutang dan memberi hutang itu adalah harus, dan hanya untuk tujuan baik sahaja. Jika seseorang itu berhutang untuk tujuan buruk, maka dia telah berlaku zalim dan berbuat dosa. Antara tujuan buruk berhutang :

  • Berhutang untuk menutupi hutang yang tidak terbayar
  • Berhutang untuk sekadar bersenang-senang
  • Berhutang dengan niat meminta. Kerana biasanya jika meminta tidak diberi, maka digunakan istilah hutang supaya diberikan wang, ayat mudahnya ialah menipu.
  • Keburukan dan dosa tidak membayar hutang

Setiap mereka yang berhutang wajib membayar hutang, kerana hutang ini akan menyebabkan beban yang berat kepada penghutang. Antara beban-bebannya adalah :

  1. Merosakkan akhlak. Seperti sabda Rasulullah S.A.W : “Sesungguhnya seseorang apabila berhutang, maka dia sering berkata lantas berdusta, dan berjanji lantas memungkiri.” (H. R. Al-Bukhari).
  2. Dosa tak terampun walaupun mati syahid. Rasulullah S.A.W bersabda : “Semua dosa orang yang mati syahid Akan diampuni (oleh Allah), kecuali hutangnya.” (H. R. Muslim).
  3. Pahala diganti dengan hutangnya. Sabda Rasulullah S.A.W : “Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) karena di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.” (H. R. Ibnu Majah).
  4. Beban yang ketiga inilah yang digunakan dalam hujah-hujah untuk tidak menghalalkan hutang kepada si penghutang, agar pahala penghutang diberikan kepada pemiutang di akhirat kelak. Namun, dengan sengaja berbuat demikan bukanlah anjuran Islam.

Memang si pemiutang berhak tidak menghalalkan hutang tersebut, tetapi apa yang dianjurkan dalam Islam adalah, sebaik-baiknya selidik dahulu mengenai keberadaan dan situasi si penghutang.

Firman Allah S.W.T mengenai pahala yang besar menangguhkan dan menghalalkan hutang

Namun, jika si penghutang dalam keadaan sesak, dan tidak mampu membayar, adalah lebih baik si pemiutang melonggarkan dan memberikan ruang kepada penghutang agar boleh membayarnya. Dan adalah lebih baik jika menghalalkannya sebagai satu sedekah jariah.

Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 280 yang bermaksud:

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

Sayyidina ‘Imran bin Husain berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang ada apa-apa hak ke atas seseorang yang lain (seumpama hutang dan sebagainya) dan dia memberi penangguhan pembayaran kepada saudaranya itu , maka dia mendapat pahala sedekah bagi setiap hari yang dia tangguhkan.” (Musnad Ahmad)

Di sini jelas Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W menyuruh kita agar memberi ruang kepada si penghutang, jika mereka berada dalam kesempitan, dan Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada kita.

Jadi tak perlu nak tunggu di akhirat dan meminta pahala kepada si penghutang sebagai balasan. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana, melebihi akal fikiran kita.

Hadis Rasulullah S.A.W. mengenai pemberian kelonggaran pembayaran hutang
Diriwayatkan dari Abu Qatadah ketika mencari orang yang berhutang kepadanya. Orang itu malah bersembunyi dan Abu Qatadah telah menemukannya. Lalu orang itu berkata, “Sesungguhnya aku dalam kesukaran,”. Lalu Abu Qatadah pun membalas, “Demi Allah?”, dan orang itu menjawab, “Demi Allah.”.

Kemudian Abu Qatadah berkata, “Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah S.A.W sabda:”

من سره أن ينجيه الله من كرب يوم القيامة فلينفس عن معسر أو يضع عنه.

“Barang siapa ingin diselamatkan oleh Allah dari kesusahan-kesusahan hari Kiamat maka hendaklah dia memberi tangguh kepada orang yang dalam kesukaran atau menghapuskan utangnya,” (H.R. Muslim)

Dalam satu lagi hadis Rasulullah S.A.W, Ka’ab bin Umar berkata beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

من أنظر معسرا أو وضع له أظله الله في ظله.

“Barang siapa memberi tangguh kepada orang yang dalam kesukaran atau menghapuskan utangnya maka Allah akan menanunginya di dalam naungan-Nya”.(H.R. Thabrani dan Tirmidzi)

Konklusi

Jadi di sini jelas bahawa dosa tidak membayar itu sangatlah berat hingga dibawa ke mati, namun, kita tidak patut mengharamkan hutang seseorang hanya ingin mahukan pahala mereka di akhirat kelak, kerana itu adalah zalim.

Sebaik-baiknya pemiutang menyelidik dahulu keadaan penghutang, jika dalam keadaan sesak, ikutlah apa yang dianjurkan oleh Islam dan Rasulullah S.A.W, yang selebihnya kita berserah. Percayalah, Allah S.W.T akan membalas sesuatu kebaikan itu walaupun ia hanya sebesar zarah.

Namun, jika penghutang tidak berada dalam keadaan sesak malah bersenang-lenang, maka gunalah dia telah melakukan dosa dan zalim terhadap dirinya serta kepada pemiutang. Di sini, gunakanlah penghakiman anda dengan sebaik-baiknya.

Semoga kita sentiasa dilindungi Allah.

Leave a Comment

9 − 6 =