Hanya 4 Syarat Untuk Wanita Masuk Ke Syurga

Allah SWT telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman bahawa untuk memasuki Syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah melalui empat syarat sahaja.

Sedangkan seorang lelaki yang beriman ia kena melalui banyak halangan dan dugaan serta melaksanakan beberapa tanggungjawab kepada Allah SWT terlebih dahulu barulah ia layak memasuki Syurga Allah melainkan para syuhada yang syahid di jalan Allah agama.

Empat syarat tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Melakukan solat lima waktu

Solat merupakan pemisahan antara keimanan dan kekufuran yang haq dan yang bathil. Allah SWT berfirman yang bermaksud: ”Maka dirikankanlah solat itu (sebagaimana biasa) sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman ” (Surah An-Nissa’ ayat 103)

Diriwayatkan dari Jabir r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Perumpamaan solat lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua: Puasa di bulan Ramadhan

Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Rasulullah SAW maksudnya: “Setiap amalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah SWT (maksudnya): ”Kecuali puasa yang dikerjakan untuk-Ku, maka Akulah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku”. Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi.” (Hadis Riwayat Muslim )

Ketiga: Menjaga maruahnya

Wanita solehah yang menjaga maruahnya adalah wanita yang sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah SWT.

Bila ia keluar rumah sentiasa menutup aurat dan menjaga perhiasan diri tidak bersolek berlebih-lebihan dan berwangi–wangian hingga menimbulkan fitnah, menjaga pergaulannya, menjaga lidah dan tidak mengumpat dan mengadu domba.

Dia adalah wanita yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat.

Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Keempat: Mentaati perintah suami

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah.” (Riwayat Thabrani)

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat kepada suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Kelebihan Berkahwin Bagi Wanita

Wanita yang layak untuk memiliki peluang dan jalan yang mudah ini adalah khusus untuk wanita yang berkahwin kerana dengan perkahwinan ini barulah teruji kesetiaannya menjadi isteri dan ibu yang solehah. Barulah segala kelebihan dan pahala yang berlipat ganda akan diperolehi semasa berkhidmat sebagai isteri dan ibu yang penuh bertanggungjawab.

Kekurangan untuk wanita yang tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki.

Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. Bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam solehah dan menjadi ahli Syurga di akhirat adalah amat mudah.

Ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintu mana yang ia suka (mengikut pilihannya).” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat.

Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin akan memiliki pahala yang besar seperti berikut:

1. Bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah di kala mengandung.

2. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan.

3. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba.

4. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada Neraka.

5. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa.

6. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah SAW di Syurga kelak.

7. Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala .

8. Lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid.

Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Sekiranya seorang wanita belum bertemu jodoh ia tidaklah termasuk dikalangan yang rugi kerana soal jodoh adalah urusan Allah SWT.

Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, taqwa, berilmu walaupun lelaki tersebut telah berkahwin dan bukan seorang hartawan.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau ia telah berkahwin?” Jawab baginda, “Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali).” Maksudnya disini bukanlah menjadi satu masaalah bagi lelaki yang telah berkahwin untuk melamar dan mengawini seorang wanita (berpoligami).

Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi banyak pahala.

Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk Syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami.

Kenapakah Nabi SAW mengatakan ramai ahli Neraka adalah wanita? Apakah salah silapnya yang menjadikan penghuni Neraka majoritinya adalah wanita?

Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:

1. Wanita sering tidak bersyukur dengan nikmat rezeki yang dibawa balik oleh suaminya. Suka kepada kemewahan dan perhiasan yang hebat-hebat dan cantik.

2. Wanita sering menderhaka kepada suaminya. Suka membantah dan sentiasa menegakkan pendapatnya tanpa menghiraukan perasaan suami. Wanita yang meminta cerai kerana suaminya bercadang berpoligami adalah satu dosa kerana hak berpoligami adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada kaum lelaki.

3. Wanita sering tidak menjaga kehormatan diri seperti suka membuka aurat (tidak bertudung kepala) dan suka berhias-hias untuk memperlihatkan kecantikannya kepada yang bukan mahram atau suami dan tidak dapat menjaga batas pergaulan yang ditetapkan syariat.

4. Wanita sukar untuk menjaga lidahnya daripada mengumpat dan mengadu domba. Dan sering menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suami dan orang lain. Terdapat juga sebahagian wanita yang fasik tidak dapat mengawal nafsunya hingga sanggup melakukan zina.

Oleh itu wahai wanita-wanita yang beriman! Jauhlah diri kalian daripada amalan dan perbuatan yang mendatangkan dosa besar dan akan mengheret kalian ke Neraka Jahannam.

Rebutlah peluang keemasan ini iaitu melakukan ketaatan kepada empat perkara yang dinyatakan di atas. Ini adalah tawaran Allah SWT yang paling mudah untuk kalian memasuki Syurga Allah SWT melalui mana-mana pintu Syurga yang kalian pilih.

1 thought on “Hanya 4 Syarat Untuk Wanita Masuk Ke Syurga”

Leave a Comment

five × one =