4 Langkah Menjadi Menantu Yang Disayangi Mertua

Oleh Marina M.Arus

Sering kita terbaca atau terdengar kisah mengenai mertua dan menantu yang tidak sebulu. Bahkan, ada yang tidak bertegur sapa apabila mereka berada dalam satu rumah. Pelbagai faktor yang menyebabkan hal ini berlaku.

Salah satu penyebabnya berkemungkinan calon menantu itu bukanlah calon bagi mertua. Ini kerana, mungkin mertua itu sudah ada pilihan lain untuk dijadikan pasangan anaknya. Atau, menantu itu tidak menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh mertua.

Namun, dek kerana sayangkan anak dan tidak mahu kecilkan hatinya, maka diterima saja calon pilihan tersebut. Hal ini turut berlaku dalam masyarakat, tidak kira sama ada dari pihak lelaki mahupun wanita. Jika kalian berada dalam situasi ini, bagaimana kamu menjernihkan hal sebegini?

Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh dipraktikkan demi kesejahteraan rumahtangga kamu dan pasangan;

1# Berbuat Baik Tanpa Jemu

Orang kata, biar orang buat jahat pada kita. Tapi, kita jangan buat jahat pada orang.
Usahalah untuk sentiasa berbuat baik dengan mertua dan keluarga suami yang juga pangkatnya sama seperti ibu bapa kita sendiri.

Sepertimana kamu berbuat baik pada ibu bapa sendiri, begitulah juga kamu perlu berbuat baik pada mertua. InsyaAllah, lambat laun pasti mereka akan terpaut dengan segala kebaikan yang kamu curahkan.

Contohnya, kalau balik kampung, rajin-rajinlah bawa buah tangan. Tak kisahlah buah-buahan, kuih-muih, atau apa-apa sahaja yang menjadi kegemaran mertua. Ini kerana, pemberian atau hadiah boleh mengeratkan kasih sayang antara kedua belah pihak.

2# Mengalah

Jika ada perkara yang melibatkan perbincangan antara kedua keluarga ini, pilihlah untuk mengalah sekiranya berlaku ketidakfahaman di situ. Di sudut lain, kamu masih boleh mengutarakan pandangan kamu.

Sekalipun, kamu tidak bersetuju dengan segala apa yang diutarakan oleh mertua, namun dek kerana hormat pada mereka, cubalah untuk mengalah. Entah-entah, mereka ni saja nak test kesabaran dan sikap kamu tu saja. Bertenang ok.

3# Jangan Melawan atau Memprotes

Tak dinafikan, pemikiran orang tua dan orang muda kini berbeza. Ya, mungkin kerana faktor sekeliling atau disebabkan arus kemodenan yang berlaku. Lagi-lagi, darah anak muda yang cepat ‘mendidih’ apabila pandangan atau buah fikiran yang diberikan tidak diterima.

Jangan melawan atau memprotes, itu lebih baik bagi kedua belah pihak. Sekiranya pandangan mereka tak kena dengan apa yang kamu rancangkan, usahalah untuk bercakap dengan baik dan jelaskan kedudukan yang sebenar.

4# Berdoa

“Doa itu senjata mukmin”.

Kuasa doa yang tak putus-putus dan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT pasti tak akan mengecewakan. Cuma, cepat atau lambat saja jawapan dariNya. Doakan yang baik-baik buat mereka yang bersikap dingin dengan kamu. Juga, doa agar mereka dilembutkan hati.

Kamu tak rugi satu pun. Bahkan, Allah SWT sudah pasti sentiasa ada dan mendengar segala luahanmu itu. Bersabarlah ya!

“Ibu bapa adalah wali keramat. Meminggirkan mereka akan menyebabkan hidup kita terhalang daripada ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Jika mengabaikan mereka, itu akan membuka pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan.” – Mutiara Kata Ustaz Pahrol Mohd Joui

1 thought on “4 Langkah Menjadi Menantu Yang Disayangi Mertua”

Leave a Comment

thirteen − 1 =