Jangan Tegur Isteri Depan Anak-Anak, Ini Sebabnya Suami Kena Tahu

0
1573

Puji-pujian bagi Allah. Satu prinsip penting yang saya baru belajar dari mentor saya iaitu prisip Edification.

Edifikasi sebenarnya ialah promotion (mempromosi) dan empowerment (memberi kuasa). Prinsip yang mengajar kita supaya sentiasa menceritakan dan mempromosikan kebaikan orang lain yang akhirnya kebaikan itu akan kembali kepada kita sendiri. Sentiasa cakap perkara yang baik (positif) tentang orang lain dan diamkan diri dari bercakap perkara yang buruk (negatif) tentang orang.

Pesan Nabi S.A.W;

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam (sahaja)” HR Bukhari & Muslim

Berkata Yang Baik, Atau Diam Sahaja

Memang benar kata Nabi S.A.W. Dan Tuhan selalu pesan dalam Quran bahawa setiap kebaikan yang kita buat, kebaikan itu akan kembali balik pada kita. Bukan sahaja di Akhirat, di dunia pun kita akan dapat manfaat dia. Cuma kita sahaja yang tak nampak hikmah tersebut.

Ia ibarat membaling bola getah ke dinding. Kalau kita baling bola hitam (keburukan), maka bola hitam juga akan melantun balik pada kita. Tapi kalau baling boleh putih (kebaikan), maka bola putih jugalah akan kita dapat.

Prinsip ini sebenarnya sangat penting bila kita kerja dalam sebuah kumpulan/ jemaah supaya kumpulan kita menjadi kumpulan yang kuat. Kumpulan yang sentiasa saling angkat-mengangkat (uplift each other) antara satu sama lain.

tegur isteri

Jangan Tegur Isteri Depan Anak-anak

Bila saya belajar prinsip ni, baru saya faham kenapa kita ibubapa tak boleh berselisih depan anak-anak. Ia akan bagi kesan pada anak-anak.

Kalau kita (suami) komen,marah dan tegur isteri depan anak-anak, anak-anak akan belajar dari situ. Walaupun mungkin komen kita dengan niat nak membetulkan isteri, tapi ia tetap beri kesan yang buruk!

Anak-anak akan tengok, ayahnya tak hormat ibunya. Ibunya dengan mudah boleh dikritik dan dikomen. Bukan dihormati dan disegani. Suatu hari nanti, dia akan ‘ambik tempat’ ayahnya – tegur, komen, marah dan tak hormat ibunya. Dia tak respek ibunya sendiri sebagaimana kita (bapa) tak respek isteri kita.

Maka tak peliklah kalau anak-anak tak dengar cakap ibunya. 10 kali suruh kemas mainan tapi tak jalan-jalan juga. Malah dia boleh buat ‘bodoh’ apa saja suruhan ibunya. Ibunya hilang ‘bisa’ depan anak-anak.

Promotelah Isteri Depan Anak-anak

Kita sepatutnya kena selalu promote (edify) isteri kita depan anak-anak. Zahirkan yang kita respek isteri kita depan anak-anak. Sentiasa cakap pada anak-anak yang ibunya seorang yang baik, hebat, berjasa, bagus dan sebagainya. Supaya isteri kita ada wibawa terhadap anak-anak. Anak-anak akan benar-benar percaya dan respeknya pada ibunya.

Sekali ibunya cakap, dia pasti akan dengar. Sebab mereka respek!

Mempromosikan isteri kepada anak-anak sebenarnya kita memberi satu ‘kuasa’ (empower) untuk isteri mendidik mereka dengan mudah. Kita mempermudahkan isteri untuk bantu kita didik anak-anak kita! Yang akhirnya memudahkan kita!

Menzahirkan Apa Yang Sepatutnya Terzahir

Edifikasi bukan bermaksud kita mencerita apa yang tak ada. Tapi menzahirkan apa yang ada tapi tak terzahir di depan mata seperti kebaikan dan jasa isteri pada anak-anak. Isteri kita dah buat banyak kebaikan, tapi ia tak terzahir depan mata anak-anak melainkan kita (suami) sendiri yang zahirkan!

Dan memang benar, isteri kita terlalu banyak berjasa dan berkorban pada anak-anak. Dia berjasa dan berkorban untuk anak-anak kita sebelum mereka lahir ke dunia lagi. Dan dia dah bergadai nyawa hanya untuk anak-anak kita menjenguk dunia!

Anak-anak Tak Perasan Ibunya Hebat

Kekadang kita memang sedar isteri kita bagus sebab tu kita jarang tegur isteri untuk kesalahan yang kecil. Isteri kita seorang ibu yang bagus. Tapi anak-anak tak perasan yang ibunya sangat bagus, berjasa dan hebat. Dan mereka beruntung kerana isteri kita adalah ibunya. Seorang ibu yang penyayang dan bertanggungjawab.

Jadi, siapa yang patut sedarkan anak-anak bahawa ibunya seorang yang bagus! Tak lain tak bukan, kitalah yang kena berperanan.

Isteri kita kita boleh angkat diri depan anak-anak. Dan sememangnya kita tak ada apa-apa kekuatan untuk angkat diri sendiri (seperti masuk bakul angkat sendiri) melainkan orang lain yang angkatkan!

Dan begitulah sebaliknya…

Jadi, kalau anak-anak tak dengar cakap (ibu/ bapa), cuba cek balik macam mana kita melayan isteri/ suami depan anak-anak! Kerana walaupun anak-anak tak cukup bagus untuk dengar apa yang kita CAKAP, tapi mereka tak pernah gagal untuk tiru apa yang kita BUAT

Sama-sama kita fikirkan…

Kredit: Zulkifli

BACA JUGA: Bila Isteri Tak Lagi Cantik, Disinilah Keimanan, Kesetiaan dan Nafsu Suami Teruji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here