Bagaimana Cara Untuk Kita Bersyukur? Ini 4 Caranya

Apa itu syukur? Syukur itu adalah ucapan, sikap atau perbuatan seorang hamba kepada Allah SWT diiringi dengan pengakuan secara ikhlas atas segala nikmat dan kurniaan yang diberikanNya sama ada ketika senang mahupun susah.

Selain itu, menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’, syukur itu dapat didefinisikan sebagai menjunjung tinggi nikmat, seterusnya mengagungkan Allah SWT. Syukur juga merupakan salah satu maqam (darjat) yang paling tinggi dari sabar dan khauf; iaitu takut kepada Allah SWT.

Membicarakan soal syukur kita kepada Allah SWT atas segala nikmatNya, terlintas di fikiran pula bagaimana caranya untuk kita menzahirkan kesyukuran tersebut? Secara umumnya, terdapat empat iaitu:

#1 – Bersyukur Dengan Hati

Iaitu dengan mengakui dan mempercayai bahawa segala nikmat yang kita perolehi ini sama ada kecil, besar, banyak atau sedikit adalah daripada Allah SWT bukan yang lain. Walaupun, secara mata kasarnya kita melihat bahawa segala kenikmatan yang kita perolehi itu kadang datangnya dari manusia. Namun, perlu disedari bahawasanya manusia itu hanyalah sebagai perantara sahaja. Firman Allah SWT;

“Dan, apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah (datangnya) dan apabila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.”
(An-Nahl : 53)

#2 – Bersyukur Dengan Lisan

Iaitu dengan mengucapkan secara jelas ungkapan syukur itu berupa hamdalah; puji-pujian kepada Allah SWT dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ yang bermaksud ‘Segala Pujian bagi Allah’.

Semakin banyak dan kerap kita panjatkan kesyukuran, maka semakin banyaklah nikmat lain yang akan kita perolehi kelak. Hal ini sepertimana janji Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud;

“Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memberitahu, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih’.”
(Ibrahim: 7)

#3 – Bersyukur Dengan Amal Perbuatan

Iaitu dengan menggunakan nikmat tubuh badan seperti nikmat mata, telinga, lidah, tangan, perut, kemaluan dan kaki untuk hal-hal yang baik. Mata disyukuri dengan cara melihat setiap satu ciptaan Allah SWT serta merasai keagunganNya juga tidak melihat perkara-perkara yang diharamkan.

Telinga disyukuri dengan cara mendengar perkara yang baik-baik seperti bacaan Al-Quran mahupun tazkirah. Lidah pula disyukuri dengan cara memperbanyakkan zikrullah ataupun ucapan selawat ke atas Rasulullah SAW.
Seterusnya, tangan disyukuri dengan cara menggunakannya untuk tujuan yang baik seperti membantu orang lain yang memerlukan. Nikmat perut disyukuri dengan cara memakan makanan yang halal dan tidak membazir.

Manakala nikmat seksual pula disyukuri dengan cara menggunakannya hanya pada yang halal sahaja iaitu antara suami dan isteri yang telah sah diijab kabulkan. Dan, kaki pula disyukuri dengan cara menggunakannya ke tempat yang baik seperti majlis ilmu atau masjid.

#4 – Bersyukur Dengan Nikmat Pemberian

Iaitu dengan cara memanfaatkan segala nikmat yang dikurniakannya berupa harta benda, wang ringgit, masa mahupun ilmu, ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

Harta yang banyak boleh diinfakkan untuk mereka yang memerlukan. Nikmat ilmu yang diperolehi pula boleh dikongsi dan diajarkan kepada orang lain. Manakala nikmat masa pula digunakan dengan cara yang sebaiknya dan tidak sia-sia.

Begitulah antara beberapa perkara yang boleh kita laksanakan dalam mensyukuri segala nikmat pemberian Allah SWT ini. Syukur itu bukan hanya dizahirkan melalui harta benda, bahkan melalui rukuk dan sujud kita kepada Allah juga sudah membuktikan syukur serta taat kita kepadaNya.

Mudah-mudahan, perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada penulis dan pembaca. Wallahua’lam.

Sumber : tazkirah.net

1 thought on “Bagaimana Cara Untuk Kita Bersyukur? Ini 4 Caranya”

Leave a Comment

eight − 7 =