Berhati-Hati, Inilah 7 Peringkat NAFSU Manusia

Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T mempunyai nafsu. Nafsu yang terdapat pada manusia adalah ujian Allah S.W.T. Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna dia telah berjalan mengatasi salah satu ujian Allah S.W.T. yang cukup berat ini.

Sekiranya nafsu dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat, maka nafsu akan menjadi jahat dan liar. Maka akan lahirlah orang yang pandai tetapi jahat, orang bodoh yang jahat, pemimpin yang jahat dan pendidik yang jahat. Ini amat bahaya kepada kehidupan manusia. Sebab itu nafsu perlu dikenali tahap-tahapnya dan tingkatannya. Nafsu secara fitrahnya berwatak jahat, kalau dibiarkan ia tetap jahat, betapalah kalau dididik ke arah kejahatan oleh sistem pendidikan yang jahat dan yang mengajar pun adalah orang yang jahat maka masyarakat akan menuju kepada kehancuran.

Sebab itu Tuhan ingatkan kita tentang ini di dalam firman-Nya: Maksudnya: “Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan jalanKami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al- Ankabut ayat 69)

Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, ditingkatkannya daripada jahat kepada baik, maka Allah S.W.T. akan memberi petunjuk kepada jalan yang baik. Itu janji-Nya, sebab itu nafsu perlu dididik dan diasuh mengikut telunjuk iman. Nafsu adalah musuh utama manusia dan musuh kedua manusia baru syaitan. Nafsu adalah musuh dalaman sedangkan syaitan hanya musuh luaran. Bila nafsu sudah ditundukkan dan ia taat kepada perintah Allah S.W.T maka barulah syaitan akan dapat di kalahkan.

Dalam sirah ketika Rasulullah S.A.W dan para sahabat balik dan peperangan Badar, Rasulullah bersabda maksudnya : “Kita baru balik dari peperangan yang kecil kepada peperangan yang maha besar.”

Para Sahabat bertanya : “Apakah peperangan yang maha besar itu ya Rasulullah?”
Jawab baginda : “Perang melawan nafsu.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

(1) NAFSU AMMARAH – Nafsu di tahap paling rendah dan jahat. Yang menyuruh kepada keburukan dan kejahatan. Jika melakukan kebaikan sekalipun hanya sebagai topeng untuk kejahatan. Manusia yang sedemikian akan mendabik dada, kerana berbangga dengan kejahatan yang dilakukan.

(2) NAFSU LAWWAMAH – Jika pada tahap nafsu ammarah diri tidak terkilan dengan kesalahan dilakukan, bahkan megah dengan dosa, tetapi pada tahap ini diri kesal atas keterlanjuran dan kekurangannya menunaikan kewajipan.

(3) NAFSU MULHAMAH – Bagaimana rasa hati orang yang memiliki nafsu Mulhamah ini? Iaitu apabila hendak berbuat amal kebajikan terasa berat. Dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan kerana sudah mulai takut kemurkaan Allah dan Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat, tetapi hatinya dapat melawan dengan mengenangkan nikmat di Syurga.

(4) NAFSU MUTHMAINNAH – Peringkat ini tidak dapat dirasakan melainkan selepas diri merasakan damai terhadap hukum Allah dan manhajnya, ketentuan qada dan qadar (takdir), mengingati Allah dan khusyuk dalam ibadat. Malah, diri tenang menghayati konsep kehambaan diri kepada Allah, sentiasa kembali kepada Allah dan hatinya pula sejahtera daripada segala penyakit.

(5) NAFSU RADHIAH – Nafsu yang menerima dengan rela apa saja ketetapan dari Allah sama ada hukum-hakam dan syariat Allah.

(6) NAFSU MARDHIAH – Kedudukan mereka redha-meredhai, Allah redha ke atas mereka dan mereka redha kepada Allah.

(7) NAFSU KAMILAH – Nafsu yang sempurna, keinginan hanya kepada Allah semata-mata. Nafsu ini dimiliki oleh para Rasul dan Nabi.

Orang yang memiliki nafsu mutmainnah dapat mengawal nafsu syahwat dengan baik dan sentiasa cenderung melakukan kebaikan. Juga mereka mudah bersyukur dan qanaah di mana segala kesenangan hidup tidak membuat dia lupa diri, menerima anugerah Ilahi seadanya dan kesusahan yang dialami pula tidak menjadikan dirinya gelisah. Ini disebabkanhatinya ada ikatan yang kuat kepada Allah. Mereka juga mudah reda dengan ketetapan dan ujian Allah.

Imam Al-Ghazali meletakkan nafsu ini di tahap yang tertinggi dalam kehidupan manusia. Semoga Allah S.W.T. golongkan kita dalam nafsu yang hebat ini.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita didik hati dan jiwa kita kepada nafsu mutmainnah iaitu nafsu yang terbaik dan yang paling dicintai Allah.

Nafsu ini adalah nafsu yang paling di redai Allah. Keredhaan tersebut terlihat pada anugerah yang diberikan-Nya berupa sentiasa berzikir, ikhlas, mempunyai karomah, dan memperoleh kemuliaan, sementara kemuliaan yang diberikan Allah S.W.T itu bersifat universal, ertinya jika Allah memuliakannya, siapa pun tidak akan boleh menghinakannya, demikian pula sebaliknya orang yang dihinakan oleh Allah S.W.T, siapa pun tidak boleh memuliakannya. Marilah kita bersama muhasabah diri. Wallahu’alam.

*Perkongsian facebook Dr. Wan Shah Razali

Leave a Comment

one × 3 =