Home All Keluarga Wahai Suami, Isteri Bukan Malaikat Tidak Dilahirkan Untuk Jadi Gagah Dan Kuat

Wahai Suami, Isteri Bukan Malaikat Tidak Dilahirkan Untuk Jadi Gagah Dan Kuat

3228
3

Hati seorang isteri itu terlalu besar dan dalam. Cinta mereka terlalu agung. Jika mereka telah temui cinta mereka, itulah satu-satunya lelaki dalam hidup mereka sampai mereka mati. Impian mereka hanya ingin meneruskan kehidupan di Syurga bersama Imam mereka nanti.

Nasi lah lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Tinggal lah emak tinggal saudara,
Kerana kasih hamba turutkan..

Wanita sifat mereka manja. Mereka ingin dibelai. Mereka ingin diberi perhatian. Jika 2 perkara ni mereka dapat, maka suami itulah raja dalam hidup mereka.

Anggapan lelaki bahawa orang perempuan jangan bagi muka sangat, nanti pijak kepala.. Itu hanya laungan ego sahaja.. Ramai suami masih berpegang kuat pada kepercayaan bahawa kalau hijau kata suami, maka hijaulah ia..

Adakah seorang wanita apabila telah bergelar isteri maka akan hilang suara mereka? Adakah isteri itu tidak layak untuk bersuara? Tidak layak untuk memberi pendapat? Sebenarnya ramai isteri yang makan hati.. Tapi mengenangkan rumahtangga yang dibina, semua ditelan sendiri..

Ramai isteri yang terlalu hormatkan suami, sehingga makan diri sendiri.. Daripada bergaduh, biarlah berdiam diri.. Biarlah dipendam sendiri..

Bercerai itu memang mudah…Tapi bagaimana dengan pandangan orang sekeliling?

Orang lebih simpati bila melihat duda;
“Kesian Din tu.. Lama dia menduda.. Macam mana la dia uruskan diri.. makan pakai dia..”

Tapi bila mereka melihat janda, secara otomatik stigma bahawa janda akan merampas suami orang;
“Tengoklah si Idah tu.. Sejak jadi janda, mula pakai mekap.. Dah melaram.. Nak cari laki baru la tu..”

Bila ada yang bujang berkenan dengan seorang janda, keluarga akan berkata;
“dah takde anak dara lagi ke? Kenapa janda yang kamu nak?”

Stigma inilah yang menghantui fikiran isteri. Hina sangat janda di mata orang.. Cukup takut kalau sampai terlafaz talak daripada suami. Bagaimanalah nasib anak-anak membesar tanpa seorang ayah di depan mata mereka nanti.. Maka, dengan linangan air mata ditelan segala derita..

Walaupun suami yang dulu berjanji bersumpah setia bersama, susah senang berdua, kini mula berpaling hatinya. Isteri sanggup berkorban apa saja demi suami dan keluarganya. Habis dibuka satu persatu barang kemas untuk digadai. Sedikitpun tak pernah menyesal.

TIADA ISTERI SANGGUP MELIHAT SUAMI SUSAH

Tiada seorang isteri yang akan tenang tidurnya apabila mengetahui suaminya tak cukup duit. Kalau boleh dikeluarkan darah untuk dijual, mereka sanggup menghiris nadi mereka sendiri agar dapat ditadah demi membantu suami. Tetapi suami bila dapat “bantuan” isteri, melekat bibirnya seperti digam untuk mengucapkan “terima kasih”.

Berbeza dengan seorang isteri apabila suami serahkan duit belanja walaupun sedikit, tak pernah lekang ungkapan “terima kasih, abang” walaupun tahu itu tanggungjawab suami itu sendiri. Isteri, sentiasa akan “kelepet” duit tapi bukan untuk dirinya semua untuk suami dan keluarga. Berapa ramai isteri yang tidur mereka bergenang air mata bantal mereka basah sentiasa. Seringkali pertanyaan yang sama hadir.

“Jahat sangatkah aku ni? Apa lagi yang kurang atas semua pengorbananku selama ini? Sampai bila aku harus mengemis simpati? Sampai bila diri ni tak dihargai?”

Akhirnya tertidur dengan air mata yang kering sendiri di pipi. Bila melihat pasangan lain yang bahagia, bohong kalau takde rasa iri. Setiap hari hanya mampu bersabar dan terus bersabar… Tak putus do’a kepada ALLaH agar jangan sampai kasih sayang ini bertukar benci.

Nak ajak berbincang, seolah-olah tiada erti kalau suami membatu diri. Kalau tersilap tanya, suara tengking ibarat halilintar membelah bumi jadi santapan telinga.

Adakalanya sesekali terkeluar beban emosi yang tak mampu ditanggung lagi sehingga tercetus pertengkaran dan tak mustahil pipi yang sering basah dengan air mata ini dihinggapi tamparan tangan.

Tangan yang sering dikucup dengan penuh kasih kini memberi kesan merah dan lebam pada diri. Sakit memang sakit. Tapi hati yang hancur itu lebih sakit.

Pada siapa nak bercerita? Pada sahabat taulan atau saudara? Macam mana kalau luahan hati ini nanti jadi bahan umpatan?

Hendak dicerita pada keluarga, bimbang makin mengeruhkan suasana.. Hanya pada ALLaH tempat mengadu.. ALLaH sentiasa mendengar.. Tapi sampai bila harus bersabar?

Wahai suami, sedarlah..Isteri bukan Malaikat.. Isteri bukan dilahirkan untuk jadi gagah dan kuat.. Itu tugas suami.. Isteri dilahirkan hanya untuk jadi wanita hebat..

Kalaulah boleh isteri menjerit sekuat hati di telinga suami, sudah pasti boleh hilang suara mereka kerana beratnya beban hati yang ditanggung selama ini… Tapi, hakikat isteri hanya mampu menelan semua resah di hati..

Kadang-kadang bila melihat pasangan lain yang suaminya cukup prihatin, romantik dan baik, sering tertanya di dalam hati..

Wahai Suami, Isteri Bukan Malaikat Tidak Dilahirkan Untuk Jadi Gagah Dan Kuat 1

Bagaimanakah layanan isterinya sehingga suaminya itu kelihatan terlalu sempurna di mata.. Adakah aku yang tak pandai melayan suami? Adakah kurang caraku mengambil hati?

Bagi setiap isteri, bukan harta wang ringgit emas intan berlian yang dipinta.. Cukuplah hidup sederhana asalkan suaminya setia.. Biarpun susah tanpa harta, asalkan suami sentiasa ada bersama.. Bukannya suami dalam dakapan orang ketiga…

Setiap hari, hati akan bertanya.. Sudah hilangkah kasih sayang suami? Sudah bencikah dia melihat diri ini? Sudah terleraikah janji yang dipatri? Bila emosi gagal dikawal lagi, hanya wajah anak-anak yang jadi penyejuk hati..

Ramai isteri yang menangis sendiri bila menatap wajah anak-anaknya yang sedang tidur lena.. Anak-anak ini tak mengerti.. Keperitan dan dugaan yang ibu mereka sedang lalui..

Tapi hati masih setia menanti.. Mungkin satu hari suami akan kembali berubah dan ingat semula janji-janji..

Abang dah janji nak jaga saya.. Abang dah janji nak bimbing saya.. Abang dah janji nak sayang saya sampai mati.. Abang dah janji nak ke Syurga bersama saya nanti.. Kenapa abang lupa semua? Kenapa abang lukakan hati saya? Kenapa abang musnahkan impian saya?

Pesanan untuk suami.. Ingatlah.. Isteri itu adalah pakaian kamu.. Jika buruk perangainya, maka buruklah kamu..

Wahai Suami, Isteri Bukan Malaikat Tidak Dilahirkan Untuk Jadi Gagah Dan Kuat 2

Jika gagal dirinya menjadi Muslimah, maka gagallah kamu. Jika ke Neraka tempatnya nanti, maka akan diheret tangan kamu bersama. Bimbinglah dia dengan ilmu. Belailah dia dengan kasih sayang. Dia sebahagian daripada diri kamu sendiri. Cuba pegang dada kiri kamu. Rasakan rusukmu..

Masihkah ia ada di situ? Jika kamu sakiti hati isterimu, sebenarnya kamu sakiti dirimu sendiri..Masihkah kamu ingat lafaz taklik yang kamu baca dengan rasa gementar sebagai sumpah janji kamu kepada ALLAH bersaksikan wali isterimu itu?

Hasil Nukilan; Atok
1 April 2019
3.00 petang

Wahai Suami, Isteri Bukan Malaikat Tidak Dilahirkan Untuk Jadi Gagah Dan Kuat 3

3 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here