Home All Tazkirah Tiada Maaf Bagimu? Cukup-Cukuplah Berdendam, Allah Tinggikan Darjat Kita Apabila Memaafkan Orang...

Tiada Maaf Bagimu? Cukup-Cukuplah Berdendam, Allah Tinggikan Darjat Kita Apabila Memaafkan Orang Lain

1052
1
Tiada Maaf Bagimu? Cukup-Cukuplah Berdendam, Allah Tinggikan Darjat Kita Apabila Memaafkan Orang Lain

Tiada maaf bagimu. Ayat itu begitu ringkas dan padat. Namun, sudah cukup untuk mencengkam sanubari bagi sesiapa yang menantikan balasan kata-kata pemberian maaf selepas membuat permohonan ampun tersebut.

Andai kata, ayat tersebut yang terdetik dalam hati, pastinya golongan berkenaan terlupa bahawa tiada manusia di dunia yang maksum.

Sungguhpun terlalu sakit hati yang terluka, pedih menikam, hancur dan lebur ke lantai setiap kali mengingatkan kesalahan si dia, tapi percayalah hanya kemaafan satu-satunya jalan untuk kembali tenang.

maaf

Ketenangan adalah harga kemaafan. Dan betapa Allah memuliakan mereka yang memaafkan orang lain.

Orang yang mulia suka memaafkan orang lain. Dia bukan orang biasa-biasa. Sebab itulah andai kata, ada orang berbuat salah dengan kita dan dia tidak meminta maaf serta kita juga tidak memaafkannya, nanti di akhirat kelak, orang yang berbuat salah dengan kita akan mencari kita semula.

Kemudian, dia kena bayar segala kesalahannya kepada kita. Bayaran kesalahan itu adalah dengan pahala. Jika pahalanya habis, tetapi dosanya ada lagi, maka akan diambil dosa daripada orang yang dia pernah berbuat salah dulu, lantas dimasukkan ke dalam ‘akaun’ dia. Maka, itulah orang yang rugi.

TUNTUTAN ISLAM

Menurut Ustaz Fauzi Mustafa, memaafkan kesalahan orang lain adalah dituntut dalam agama Islam. Islam adalah agama perdamaian dan kemaafan.

“Beliau turut mengajak kita mengingati kembali kisah Nabi Yusuf AS yang mana baginda telah dibuang ke dalam sebuah telaga buta ketika masih kecil. Perbuatan itu dilakukan oleh adik-beradiknya akibat rasa cemburu mereka terhadap baginda AS.

Apabila Nabi Yusuf sudah menjadi orang yang berkuasa di Mesir, baginda AS tidak berdendam. Malah, baginda memaafkan adik-beradiknya. Dalam Al-Quran pun disebut banyak kali supaya kita memaafkan orang lain.”

Firman Allah SWT:

Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil. (Surah al-A’raf, ayat 199)

Dalam pada itu, jelas Ustaz Fauzi, agak mustahil untuk kita melupakan suatu perkara apatah lagi jika ia pahit untuk dikenang.

Itulah fitrah manusia. Ingatlah bahawa melupakan itu bukan kerja kita. Itu adalah kerja Allah. Allah tidak menyuruh kita melupakan, tetapi memaafkan.

SIFAT ALLAH

Ustaz Fauzi meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau menyentuh tentang kehebatan dan kemuliaan orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Agamawan itu menjelaskan, Allah akan mengampunkan kesalahan orang yang memaafkan orang lain.

“Semua sifat Allah, kita boleh tiru kecuali satu sahaja iaitu takbur (membesarkan dirinya). Ingatlah bahawa kita tidak boleh membesarkan diri kita.

BACA: Sudah-Sudahlah Bergaduh, Kenang Umur Mak Ayah Yang Makin Lanjut

Namun, apabila ia melibatkan sifat Allah yang lain seperti Ar-Rahman (pengasih), Ar-Rahim (penyayang), Al-Adlu (adil) dan Al-‘Afuwwu (pemaaf), kita boleh lakukan. Ia merupakan satu perbuatan mulia apabila kita meniru sifat-sifat Allah itu. Apabila kita memaafkan orang, Allah akan mengampunkan dosa kita. Malah, kita akan dekat dengan keampunan-Nya,” ujar beliau.

Tambahan pula, tidak akan hilang maruah, jadi hina atau jatuh harga diri seandainya kita memaafkan orang lain. Justeru, maafkanlah orang dan jangan berdendam.

“Sifat memaafkan telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa pembukaan Kota Makkah. Baginda telah memaafkan penduduk Makkah yang pernah menghalau baginda sebelum ini.

Peristiwa itu menggambarkan bahawa dalam Islam, sifat memaafkan orang lain telah ditunjukkan oleh para anbiya terdahulu. Apabila para nabi buat, itu adalah perintah Allah SWT.”

Ujar beliau, betapa hebatnya ungkapan kemaafan itu kerana Allah akan meninggikan darjat orang yang memaafkan kesalahan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW:

Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkatkan darjatnya. (Riwayat Muslim)

Kredit: Sinar Islam (klik sini)

Tiada Maaf Bagimu? Cukup-Cukuplah Berdendam, Allah Tinggikan Darjat Kita Apabila Memaafkan Orang Lain 1

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here