Sikap Positif Bapa Adib Redha Dengan Keputusan Dapat Pujian Mufti Wilayah

0
545
adib

SIKAP positif bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid mendapat pujian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Kami amat tersentuh dengan kenyataan bapa Muhammad Adib sehari sebelum keputusan diumumkan,” kata Dr Zulkifli menerusi ruangan Qalam Mufti dimuat naik di portal rasmi beliau, hari ini.

KEMATIAN ADIB KELUARGA REDHA NAMUN MAHUKAN KEBENARAN

Beliau turut memetik kata-kata Mohd Kassim yang disiarkan akhbar Harian Metro menerusi edisi dalam talian pada Khamis lalu: “Apapun keputusan, saya dan keluarga perlu reda, namun harapan kami pastinya ingin melihat keadilan.”adib

Katanya, kenyataan itu membuktikan bapa Muhammad Adib mewakili seluruh keluarganya memiliki pegangan agama kuat.

“Sebagai seorang Mukmin, kita diminta beriman kepada qada dan qadar yang telah ditetapkan Allah, bersabar menerimanya dan sentiasa berbaik sangka dengan ketentuan-Nya.

“Yakin dan percayalah, inilah sepatutnya menjadi pegangan dan sikap seorang Mukmin sejati.

“Justeru, saya menyeru seluruh umat Islam di negara ini agar mencontohi sikap positif yang ditunjukkan ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian anggota bomba itu adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib, 24, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sehubungan dengan keputusan itu, Dr Zulkifli menasihatkan masyarakat Islam agar menghindari sebarang aksi dan tindakan menyalahi undang-undang, sebaliknya mematuhi keputusan dan peraturan ditetapkan.

“Elakkanlah daripada melakukan tindakan tidak wajar atau apa-apa kenyataan boleh membakar perasaan marah, tidak puas hati atau kebencian kepada mana-mana pihak sehingga boleh mencetuskan keadaan dan suasana tidak tenteram. “Pihak berkuasa seperti PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan mereka yang berautoriti diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk melaksanakan tugasan dengan sebaiknya.

“Ayuh kita pandang ke hadapan dengan positif dan bersama mempertahankan keharmonian dan keamanan hidup negara ini. Ketahuilah sesungguhnya keharmonian dan kesentosaan hidup adalah nikmat yang amat berharga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here