Home All Tazkirah Sebutlah Nama Kawan Baik Dalam Doa, Lebih Mustajab & Malaikat Doakan Kita...

Sebutlah Nama Kawan Baik Dalam Doa, Lebih Mustajab & Malaikat Doakan Kita Semula

641
0
Sebutlah Nama Kawan Baik Dalam Doa, Lebih Mustajab & Malaikat Doakan Kita Semula

Sebutlah Nama Kawan Baik Dalam Doa, Lebih Mustajab & Malaikat Doakan Kita Semula | Dalam surah ar Rahman ayat 29 menyebut:

يَسْأَلُهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ
Semua yang ada di langit dan bumi selalu meminta kepadaNya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan”. Diikuti pada ayat 30, Maka Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan. Berdasarkan ayat ni, ternyata “tugas” Allah itu sangat sibuk iaitu memperkenankan doa hamba-hamba yang meminta kepadaNya.

Dalam pada itu, kita selalu bercerita betapa seronoknya mempunyai kawan baik. Kawan baik yang boleh berkongsi susah dan senang. Kawan baik yang boleh berkongsi rahsia kita dan menjaganya sampai mati. Ya, kalau sekali kita bertemu, kita tak akan lepaskannya seumur hidup kita.

Tapi berapa ramai yang punya kawan baik menyebut nama kawan baik nya itu dalam doa yang dipohon pada Allah dalam solat lima waktu? Sebenarnya ada hadis menyebut, mendoakan kawan baik itu tanpa pengetahuannya adalah lebih mustajab doanya.

BACA JUGA: Ciri-Ciri Yang Diperlukan Dalam Memilih Sahabat Menurut Islam

Lebih menakjubkan, malaikat akan mendoakan kita kembali selepas kita mendoakan kawan baik itu. Ini kerana mendoakan kebaikan orang lain dalam keadaan dia tidak mengetahuinya, adalah amalan yang sangat mulia. Islam mendidik umatnya supaya tidak mementingkan diri sendiri.

Kita dah biasa doakan ahli keluarga kita. Malah doa itu tak pernah lekang pun. Tapi jangan ditinggal doa buat kawan baik kita, sebutlah namanya. Ini selari dengan satu soalan di page Mufti Wilayah Persekutuan, seorang sahabat bertanya apakah sahih hadith berdoa kepada kawan baik tanpa pengetahuannya adalah mustajab?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, doa merupakan satu anugerah yang sangat istimewa dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita sebagai hamba-Nya. Sebelum kami menjawab persoalan di atas, di sini kami ingin nyatakan makna doa terlebih dahulu.

Menurut Imam al-Khattabi, makna doa adalah pemohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. [Lihat: Sya’n al-Du’a, 1/4]
Selain itu, Allah SWT sangat suka hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sebagaimana yang disebut di dalam nas-nas ilahi. Antaranya, Firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”. [al-Baqarah:186]

Berkaitan soalan di atas, hadith berkaitan doa kepada kawan baik tanpa pengetahuannya adalah mustajab adalah hadith yang sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Muslim di dalam kitabnya (Sahih Muslim).

kawan baik

BACA JUGA:Wanita Ini Jelaskan Betapa Pentingnya Seorang Wanita Untuk Kekal Rapat Dengan Kawan Perempuannya Walaupun Setelah Bernikah

Matan Hadith

Daripada Abi Darda’ RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan)”. [Riwayat Muslim (4912)]

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. [Riwayat Muslim (4914)]

Makna Hadith

Adapun yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan “ظهر الغيب” adalah ketika orang yang didoakan itu tiada ataupun berdoa kepadanya secara diam-diam (tanpa pengetahuannya).

Ini kerana, dengan cara itu akan menimbulkan atau meningkat tahap keikhlasan kita ketika berdoa. Selain itu, yang dimaksudkan dengan “مثل” adalah seperti yang didoakannya. Tambahan pula, ini menunjukkan akan kelebihan berdoa kepada saudaranya muslim secara diam atau sembunyi.

Walaupun yang didoakan itu adalah sekumpulan kaum muslimin maka dia akan memperoleh kelebihan ini (kemustajaban doa). Jika yang didoakan itu adalah sebahagian daripada kaum muslimin, zahirnya dia juga mendapat kelebihan ini. (iaitu Allah SWT memakbulkan doanya).

Disebabkan itu, sebahagian salaf, jika mereka ingin mendoakan kepada dirinya, mereka akan berdoa kepada saudaranya muslim secara sembunyi kerana ia adalah mustajab dan mereka akan memperolehi yang sama seperti yang didoakan itu. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 17/49]

Fiqh al-Hadith

Antara fiqh al-Hadith yang boleh diambil daripada hadith ini adalah:

  • Islam sangat menggalakkan setiap umatnya agar sentiasa berdoa kepada saudaranya.
  • Kita dituntut untuk mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada saudara kita.
  • Doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT.
  • Setiap apa yang kita doakan, Allah SWT juga akan mengurniakan kepada kita sama seperti yang kita doakan.

Penutup

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita berdoa kepada kawan baik atau saudara kita dalam setiap doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT. Ini kerana, doa memiliki kuasa atau kelebihannya yang tersendiri dan Allah SWT pasti akan memakbulkan setiap permintaan hamba-Nya tapi dengan cara yang berlainan.

Akhirnya, semoga Allah SWT memakbulkan setiap doa kita serta menggolongkan kita daripada kalangan hamba-Nya yang menerima taufik dan hidayah-Nya. Amin,Wallahua’lam

(sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Sebutlah Nama Kawan Baik Dalam Doa, Lebih Mustajab & Malaikat Doakan Kita Semula 1

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here