Menghindari Dosa Mengumpat, Sila Amalkan 3 Tip Ni Supaya Tidak Terjebak

1
798
mengumpat

3 Tip Mudah Supaya Tidak Terjebak Dengan Dosa Mengumpat. Dia insan biasa yang memperkatakan perihal buruk orang. Seolah-olah dirinya sempurna tiada cacat celanya. Oh manusia. Akibat lidah nan satu tidak bertulang.

Jika diperhatikan, golongan ini lazimnya memperkatakan perihal orang riuh sekali. Namun, jika terdengar di hujung telinga cerita buruknya tersebar, maka habislah melenting tak sudah. Dicanangkan kembali perihal orang yang memperkatakan tentangnya.

Hasilnya, hati tidak tenang, dendam kesumat membara, kasih sayang tiada. Oh! Malangnya hidup yang sedemikian rupa. Ini golongan pengumpat tahap kritikal.

Bercakap perihal orang lain memang seronok. Tidak kira sama ada diri sendiri bercerita atau kita menjadi pendengar. Bagaimanapun, itu bukan akhlak sebenar seorang Muslim kerana perbuatan itu satu daripada dosa besar.

mengumpat

Sehubungan itu, jangan sesekali kita bercakap mengenai hal atau aib seseorang sekiranya kita tidak mahu orang lain berbicara mengenai diri kita.

Pastikan diri kita terhindar daripada orang atau kumpulan yang dalam bicara mereka ada menyebut nama orang lain. Begitu juga elakkan diri daripada menjadi individu yang gemar ‘tadah’ telinga untuk mendengar perkara yang mengaibkan orang.

Apabila tergolong sebagai pendengar, kita seolah-olah menggalakkan orang itu terus bercakap. Sedangkan setiap bicara yang dibualkan itu perkara maksiat dan berdosa besar.

Tidakkah kita turut berkongsi dosa sama? Seandainya kita berbicara mengenai hal orang lain dan perkara itu dibencinya, maka ia dikira sebagai mengumpat.

Mengumpat juga boleh ditakrifkan sebagai bercakap perkara yang benar berlaku pada diri seseorang. Apatah lagi perkara itu tidak benar sepertimana dikatakan, maka ia akan menjadi fitnah.

Memang sangat mudah mengumpat. Contohnya, kita menghadiri satu majlis perkahwinan, selepas pulang ke rumah kita mula bercakap mengenai orang tertentu seperti pengantin lelaki tidak sepadan dengan isterinya kerana dia berkulit hitam manakala isteri putih dan cantik.

Adakah kita sanggup bertemu dan memohon maaf kepada orang yang kita umpat itu? Jika kita tidak mampu berbuat demikian, maka seluruh amalan kebaikan yang kita lakukan akan terhapus dan berpindah milik kepada orang yang diumpat itu.

Jelas, begitu mudah lidah menjadi penyumbang dosa kepada manusia. Bagaimanapun, lidah juga ‘aset’ memudahkan manusia memperoleh pahala.

Allah menyatakan mengenai perkara itu dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah al-Hujuraat, ayat 12)

Betapa jijik amalan mengumpat itu apabila Allah bandingkannya seperti memakan daging saudara kita yang sudah mati.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menjelaskan, seseorang hendaklah tidak bercakap kecuali dalam perkara yang memberi kebaikan. Jika ia tidak mendatangkan sebarang faedah, maka kita dituntut untuk diam.

5 TIP ELAK DOSA MENGUMPAT

  • Bercakap Perihal Sendiri

Bila dua orang bertemu, pasti akan berbual berkaitan sesuatu perkara. Dalam perbualan itu, cuba kaitkan dengan hal pengalaman diri sendiri sahaja. Pastinya yang baik dan bermanfaat sahaja keluar apabila bercakap tentang diri.

  • Jangan Bercakap Perihal Orang

Pasak pada jiwa. Niatkan dalam hati. Saya tidak boleh bercerita tentang orang lain. Melainkan orang itu ada didepan mata dan sedang menayang giginya.

Untuk tips ini, penetapan minda itu penting. Menjadi kebiasaan seseorang untuk tersasar dengan istilah “tapi”. Perkara ini menambahkan saham dosa mengumpat ketika menceritakan sesuatu yang kontra. Allahu. Sedih.

Menceritakan buruk orang itu tiada baiknya. Cerita itu jika benar maka dapatlah dosa mengumpat, manakala yang salah dapatlah dosa memfitnah. Akaun debit kredit pahala terus aktif serta merta hanya dengan sebab lidah yang “tergelincir” dari landasan.

  • Diam, Berdoa & Membenci

Menjadi kebiasaan untuk para wanita berkumpul beramai-ramai. Maka dikala perjumpaan itu, jika terdengar perihal buruknya orang, teruslah berdiam diri. Mengiakan pun tidak, menidakkan pun tidak.

Kemudian, doakan si pulan binti pulan itu kerana dosa mengumpatnya. Semoga dosa lidahnya diampunkan Allah s.w.t. kerana dirinya mengumpat dalam keadaan jahil. Seterusnya, benci dalam hati perbuatan itu.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here