Kalau Dah Tiada Rasa Sayang Lagi, Mungkin Cerai Jalan Terbaik!

0
113

Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie, berkongsi kisah salah seorang kliennya, seorang wanita yang mengaku dah hilang rasa sayang dan hormat pada suaminya. Hendak tuntut cerai, dia tak berani.

Wanita yang berusia hujung 30-an, merupakan isteri dan ibu kepada lima cahaya mata berusia antara 15 hingga 10 tahun. Dia kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya berkongsi kisah perkahwinannya berusia hampir 17 tahun.

Ditangkap Polis

Menurut wanita ini, perkahwinan atas dasar cinta cuma bahagia pada beberapa tahun di awal perkahwinan. Tika dalam pantang bersalin anak bongsu, suaminya ditahan polis kerana terlibat dengan perjudian tanpa lesen.

Biar pun dibebaskan dengan jaminan, tangkapan tersebut menggelapkan masa depan mereka sekeluarga kerana suaminya dipecat. Menjadi tambah bermasalah apabila si suami enggan bekerja sebaliknya lebih minat berjudi.

Bermula detik itulah juga, wanita ini mengambil alih segala tanggungjawab si suami. Si isteri pernah protes tapi si suami buat tak peduli sebaliknya memberi amaran; kalau nak mohon cerai, jangan harap akan berjumpa dengan anak-anak lagi sampai bila-bila.

Takut dan bimbang dengan amaran si suami, wanita ini bertahan walau tanpa rasa sayang. Baginya, biarlah dia berkorban demi anak-anak. Bila ditanya, bagaimana hubungannya dengan suami? Katanya, dalam hatinya kini hanya ada perasaan benci tiada lagi rasa sayang! Kalau boleh, dia berharap sangat suaminya cepat mati!

rasa sayang

Hak Ke Atas Anak

Suami tak berhak nak halang anda bertemu dengan anak-anak jika benar berlaku perceraian. Hukum syarak dan undang-undang memperuntukkan seorang ibu lebih berhak ke atas anak-anak berbanding ayah.

Yang penting, kena usahakan jalan penyelesaian. Bukan sekadar takut, bimbang, menunggu, bertahan dan berkorban hingga menganiayai diri sendiri malah berdosa kepada Ilahi. Sebagai individu muslim, hanya satu yang perlu kita utamakan iaitu reda Allah. Tiada guna hidup jika tiada reda Allah. Kita takkan mungkin kekal di dunia. Tiba masanya kita akan kembali kepada-Nya.

Lantas; pastikanlah segala yang kita lakukan tika hidup di dunia ini adalah berasaskan reda-Nya. Jika tak berdaya untuk menyayangi dan menghormati suami lagi, keluarlah daripada perkahwinan.

Semua Pihak Kena Bahagia

Perlu difahami, Islam tentukan perkahwinan perlu membahagiakan semua pihak yang terlibat; isteri, suami, anak-anak dan keluarga kedua-dua pihak. Perkahwinan juga perlu berlandaskan kasih sayang, bukan semata-mata tanggungjawab. Bererti tidak boleh wujud rasa benci kepada pasangan.

Apatah lagi, seorang isteri wajib tunjukkan rasa hormat dan rasa sayang kepada suami biarpun suami tersebut bukan suami yang baik asalkan si suami tidak menyuruh isteri melakukan perkara yang dilarang syarak.

Dalam kes ini, si suami melakukan perkara yang ditegah oleh syarak. Dalam masa yang sama, mengabaikan tanggungjawab tetapi tidak memaksa isteri melakukan perkara ditegah syarak. Bererti, tanggungjawab isteri masih kekal untuk terus menghormati suami. Sebab? Isteri reda biar pun terpaksa untuk mengambil alih segala tanggungjawab suami.

Walau paksa rela? Ya! Barulah sinonim dengan pengorbanan. Cuma, pengorbanan wanita ini tidak sepatutnya berlaku sebab wanita ini tidak mampu berkorban yang memungkinkan dirinya terus di dalam reda Ilahi.

Nak Berkorban Pun Ada Syaratnya…

Setiap individu boleh berkorban tetapi nak berkorban harta atau nyawa tu pula, ada syaratnya; jangan sampai terpinggir daripada landasan syarak. Paling penting, biarlah pengorbanan tersebut tetap kekal atas dasar takwa dan reda Allah.

Jika berkorban hingga bersubahat membenarkan orang lain ingkar tanggungjawab yang patut dengan Allah, pengorbanan anda sia-sia malah mengundang dosa.

Anda korbankan diri, emosi rasa sayang malah ketenangan hati semata-mata nak kekalkan perkahwinan supaya anak-anak di depan mata. Hakikatnya, ada cara lain yang boleh anda lakukan. Kita diberi hak untuk menikmati bahagia malangnya kita tidak usahakan ke arah bahagia tersebut bererti kita kufur nikmat-Nya.

Tak guna korbankan hati, perasaan rasa sayang malah diri semata-mata nak pertahankan perkahwinan yang melanggar prinsip ketentuan syarak hingga sebabkan anda menerima dosa.

Berkorban untuk anak-anak biarlah berbaloi untuk diri sendiri, malah untuk anak-anak. Walau tika berkorban, anda tidak lakukan perkara yang ditegah syarak tetapi perlu diingat, apabila kita melakukan yang tak sepatutnya sebagai seorang isteri atau suami juga, ia termasuk dalam kategori melanggar arahan syarak.

Allah tak sukakan perceraian tetapi Dia halalkan demi kemaslahatan hamba-Nya juga dan ingatlah, perceraian bukan musibah sebaliknya hikmah bagi yang sudah hilang rasa sayang. Berkorbanlah tetapi letakkan DIA yang lebih utama, insya-Allah segala pengorbanan anda berbaloi dan diterima oleh-Nya sebagai ganjaran pahala.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here