Home All Keluarga Duit Tak Boleh Beli Bahagia, Malah Boleh Jadi Perang Dalam Rumah Tangga

Duit Tak Boleh Beli Bahagia, Malah Boleh Jadi Perang Dalam Rumah Tangga

1185
2
Duit Tak Boleh Beli Bahagia, Malah Boleh Jadi Perang Dalam Rumah Tangga

Orang cakap kalau ada duit, segalanya boleh buat. Tapi dengan duit yang banyak bolehkah ia beri bahagia dalam keluarga. Persoalannya, kalau tak ada $$$ pun susah, ada $$$ pun susah. Jadi apa yang harus buat?

Tn Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie Penang, Kedah, Perlis dan Perak. telah berkongsi artikel tentang apa yang berlaku di kalangan pasangan suami isteri. Katanya:

Antara punca tertinggi kes perceraian di Mahkamah Syariah adalah kerana wang. Ya, yang paling spesifik adalah nafkah zahir. Sama ada wang tidak cukup untuk tanggung keperluan isi rumah ataupun terlebih wang sehingga lupa tanggungjawab sebagai suami dan mungkin sebagai seorang Islam.

Duit Tak Boleh Beli Bahagia, Malah Boleh Jadi Perang Dalam Rumah Tangga

Sebenarnya duit ini hanya alat sahaja. Cuma yang menjadi salah adalah orang yang urus duit itu sebenarnya. Kalau suami tahu pengurusan kewangan dengan betul ikut kemampuan, pasti tidak akan berlaku perceraian atau pergaduhan dalam rumahtangga berkaitan nafkah.

Tapi, yang paling banyak isu di Mahkamah Syariah kini adalah, kurangnya duit pendapatan sehingga nafkah isteri atau nafkah anak-anak terabai. Agak kurang isu perceraian yang berlaku di Mahkamah disebabkan terlebih duit.

Cari Duit

Di dalam Islam, telah diletakkan tanggungjawab bagi pihak lelaki untuk mencari nafkah bagi menampung keperluan diri dan tanggungan di bawahnya. Orang lelaki paling diletakkan tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada tanggungannya.

Namun, ada juga isteri yang bekerja dan mempunyai kerjaya yang lebih baik daripada suami. Tapi, bukan menjadi tanggungjawabnya dalam Islam untuk mencari nafkah kepada suami atau anak-anaknya. Hasil kerja atau pendapatannya hanya untuk dirinya sahaja. Kalau isteri nak bantu suaminya, itu adalah dikira sedekah. Bukan tanggungjawabnya.

Ada beberapa saluran duit yang perlu berada pada aliran yang betul dalam rumah tangga. Antaranya:

Rumah

Suami perlu membayar sewa rumah atau membayar bulanan rumah yang didiami oleh isteri dan anak-anak. Bukan isteri yang bayar. Suami juga perlu ada perbelanjaan khas untuk bayar bil-bil penting untuk isi rumah seperti bil elektrik dan bil air. Bil internet atau Astro bukan keperluan yer dan tak wajib dikira sebagai nafkah.

Keperluan Dapur

Sepatutnya bila kita menghadapi situasi ekonomi yang sukar, makan masakan di rumah adalah yang terbaik. Suami wajib beli beras, ikan, ayam, apa-apa barang ‘kering’ dan apa-apa barang ‘basah’. Kalau nak masak tu, gas memasak pun perlu suami sediakan melainkan semua peralatan adalah menggunakan elektrik.

Duit Makan

Kalau isteri bekerja, sebagai suami, kita perlu beri duit belanja untuk dia makan di tempat kerja. Ini tanggungjawab yang perlu suami pikul. Yang selalu terjadi, bila isteri bekerja, makan minumnya di tempat kerja ditanggung oleh isteri tu sendiri. Melainkan isteri redha perkara tersebut, tak jadi masalah.

Keperluan Peribadi

Setiap keperluan peribadi juga perlu suami sediakan seperti peralatan mandi, tuala wanita ketika isteri datang haid, bedak, deodoran dan lain-lain. Jangan cakap perkara ini tak penting sebab ini salah satu keperluan isteri yang penting setiap bulan. Takkan la nak gosok gigi guna sabut kelapa pulak kan?

Perubatan

Ini juga tanggungjawab wajib suami. Duit yang diperlolehi perlu disediakan bahagian untuk perubatan. Sekarang ini, kalau bekerja kerajaan, mungkin akan ada potongan gaji untuk perubatan seisi keluarga. Beberapa syarikat swasta juga sediakan klinik panel tertentu. Cuma, kalau kerja sendiri, cuba sediakan insuran perubatan untuk isteri dan anak-anak. Kita pun tak tahu bila nak sakit.

Salah Urus Wang

Ada beberapa perkara yang menjadikan kelemahan pengurusan duit ini sampai bergaduh suami isteri. Antaranya :

Rumah Yang Terlalu Mahal

Beli atau sewa rumah bukan ikut kemampuan, tapi ikut keperluan. Memang betul, bank akan cakap kita mampu beli rumah harga RM500k. Ada banyak bilik. Sangat selesa. Tapi, adalah itu perlu kalau yang tinggalnya 3 orang sahaja dalam satu rumah? Ataupun, nak sewa dekat kondo sahaja, tak mahu duduk di flat konon tak selesa. Kalau berkemampuan, apa salahnya. Tapi pastikan, kita mampu bayar setiap bulan.

Kereta Mahal

Ini masalah orang sekarang. Asal sahaja baru dapat kerja sebagai pegawai, terus beli kereta yang bayaran bulanan cecah RM1000 keatas. Ada juga yang kereta biasa, tapi banyak habiskan duit pada sport rim, aksesori ataupun berkonvoi kelab kereta setiap minggu. Kereta tu pakai minyak. Lagi besar kereta, lagi tinggi maintainance. Lain la kalau kereta tu pakai air yasin malam jumaat.

Rokok

Ini tabiat yang sekarang ini ramai orang payah nak buang. Kalau dari awal kahwin memang dah merokok, memang sukar kalau nak tengok suami berhenti melainkan datang penyakit. Ada juga keadaan yang suami cuba nak berubah kepada ‘vape’. Tapi, nampak macam tak ada beza sangat sebab cecair vape masih kena beli setiap bulan dan dah jadi macam tabiat baru pulak ganti rokok.

Beli Data Internet

Sekarang ini, semua orang nak internet laju dan tanpa had. Kalau yang bayar bulanan, amaunnya statik dan agak tinggi. Cuma bagi yang mampu tak ada masalah. Cuma ramai yang tak sedar kalau pakai Prepaid. Kadang-kadang banyak duit dihabiskan untuk internet. Ye lah, nak ber FB lah, Tik Tok lah, Bigo lah. Macam-macam. Belum kira lagi yang kaki main game atas talian.

Hiburan

Ada ramai juga orang yang habiskan duit untuk hiburan setiap minggu. Contohnya, setiap minggu tengok wayang. Atau, masa di tempat kerja, banyak keluar lepak makan diluar dengan kawan-kawan. Ada juga yang setiap malam keluar main futsal atau badminton dengan kawan-kawan. Itu semua duit yang terlebih keluar untuk hiburan.

Duit Nafkah Bocor

Terjadilah pergaduhan antara suami dan isteri kerana nafkah yang tak cukup atau nafkah yang langsung tak diterima oleh isteri. Sebab itu, banyak kes Fasakh di Mahkamah adalah melibatkan suami culas sediakan nafkah atau tak ada langsung nafkah disediakan lebih daripada 3 bulan lamanya.

Isteri berhak untuk tuntut Nafkah Diri di Mahkamah Syariah kalau dia tidak mendapat nafkah dan nak beri peluang supaya suami lebih bertanggungjawab. Kalau isteri dah tiada lagi hati, dia juga sangat berhak untuk tuntut Fasakh sekiranya tidak disediakan nafkah yang cukup selama 3 bulan. Ini dibenarkan dalam undang-undang.

Kesimpulan

Duit bukan punca suami isteri berperang. Tapi, sikap dan cara pengurusan duit yang lemah menyebabkan rumahtangga menjadi goyah. Lagi teruk kalau suami tu tak kerja langsung untuk cari duit bagi menanggung isteri dan anak-anak.

Siapa yang ada masalah dengan suami dia tentang duit atau dengar kawan dia ada masalah yang sebegini, cuba tanya, betul tak apa saya cakap ni?

Duit bukan segalanya, tapi banyak benda juga lah kena pakai duit.

Sumber: Khairul Fahmi Ramli

Baca Selanjutnya

Duit Tak Boleh Beli Bahagia, Malah Boleh Jadi Perang Dalam Rumah Tangga 1

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here