Suami Jangan Bermain Dengan Lafaz Cerai, Mungkin Tiada Niat Tapi Penceraian Boleh Berlaku

1
546
lafaz cerai

“SAYA tidak hendak kepada kamu lagi.” “Mulai hari ini kita berpisah.” “Pergi balik kepada ibu bapa kamu.”

Jika perkataan-perkataan ini pernah dilafazkan dalam hubungan suami isteri pastinya ia sering menjadi kekeliruan sama ada pertalian sudah terputus atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan bagi talak secara jelas dan talak kias dari segi hukum iaitu talak kias bergantung kepada niat si suami semasa melafazkan perkataan berkenaan.

Ini bermakna kesahihan sama ada hukum jatuh atau tidak talak itu bergantung sepenuhnya kepada niat suami sama ada melafazkannya dengan niat untuk berpisah atau sekadar gurauan.

“Talak secara jelas seperti ungkapan mengandungi perkataan ‘aku ceraikan kamu’ yang diucapkan oleh suami walaupun tanpa niat untuk menceraikan akan tetap jatuh talak.

“Bagi talak kias pula, jika suami melafazkan perkataan yang cenderung untuk melepaskan atau lafaz bererti talak tetapi tidak berniat untuk berpisah dan bercerai, maka tidak jatuh talak.

“Kesimpulan yang mudah tengok niat suami, kalau dia lafaz tapi dia tidak berhajat melepaskan isteri maka tidak mengapa, tetapi jika dilafazkan berserta niat berpisah maka berlakulah penceraian,” katanya.

Secara ringkasnya, lafaz talak kinayah tidak menjatuhkan talak melainkan jika disertakan niat ketika ucapan itu disebut.

Tambah Dai Afiqah, sebaiknya apabila terlafaznya talak kinayah, isteri seharusnya segera mendapatkan kepastian mengenai niat suami ketika melafazkan perkataan itu.

“Hal ini kerana jatuh atau tidak talak itu bergantung kepada niat suami. Boleh jadi perkataan yang dilafazkan hanya sekadar gurauan dan tidak berniat untuk menceraikan isteri.

“Jadi, lafaz itu tidak membawa makna apa-apa dan hubungan suami isteri boleh diteruskan seperti biasa.

“Begitu juga jika lelaki mengaku dirinya bujang tidak dikira jatuh talak kerana tidak ada perkataan cerai yang dilafazkan dan ia dikira sebagai satu pembohongan,” jelasnya.lafaz cerai

KAHWIN TANPA ILMU

Melihat kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, antara faktor utama mendorong kepada penceraian adalah kewangan, tiada persefahaman dan curang.

Malah, golongan yang mengungguli carta paling atas bercerai ialah pasangan berkahwin dalam tempoh lima tahun yang merupakan fasa awal dalam perkahwinan. Kebanyakan daripada mereka pula berumur sekitar 30 sehingga 34 tahun.

Hal ini menunjukkan kebanyakannya berkahwin pada awal usia dan seterusnya tidak dapat mengendalikan rumah tangga dengan matang sehingga berlaku penceraian.

“Kalau kita tengok masyarakat di Malaysia kebelakangan, menjadi ‘trend’ remaja berkahwin awal. Baru habis belajar terus kahwin.

“Islam sama sekali tidak melarang kahwin muda, malah Islam adalah agama syumul (menyeluruh, sempurna) yang meraikan kebahagiaan. Jadi, sekiranya ada hasrat untuk berkahwin sebaiknya lelaki dan wanita harus mempersiapkan diri dengan ilmu agama serta kekeluargaan kerana perkahwinan bukan untuk sementara waktu tetapi selagi masih bernafas,” jelasnya.

Selain itu, pasangan juga dinasihatkan agar sentiasa berkomunikasi supaya tidak timbul salah faham yang membawa kepada perbalahan.

“Seeloknya komunikasi dua hala dipraktikkan dalam rumah tangga selain mengurangkan penglibatan pihak luar seperti ahli keluarga lain dalam urusan rumah tangga.

“Jadikan penceraian pilihan terakhir. Seandainya berlaku perbalahan sebaiknya berbincang secara baik, dapatkan nasihat daripada pakar dan fikirkan kebajikan anak-anak sebelum mengambil keputusan untuk berpisah,” ujarnya.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here