Home All Isu Semasa Bekerja Di Pasar Borong Selayang, Orang Malaysia Takkan Tahan Lama!

Bekerja Di Pasar Borong Selayang, Orang Malaysia Takkan Tahan Lama!

10036
2
Bekerja Di Pasar Borong Selayang, Orang Malaysia Takkan Tahan Lama!

Pekerja asing menjangkakan orang Malaysia yang kini menggantikan kerja mereka di Pasar Borong Selayang ‘takkan bertahan lama’.

Pasar Borong Selayang yang juga merupakan salah sebuah pasar basah terbesar di Malaysia sebelum ini telah diarahkan tutup selama empat hari, bermula 21 April hingga 25 April, untuk tujuan sanitasi.

Ia berikutan timbulnya 28 kes positif COVID-19 direkodkan di lokasi berkenaan dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun.

pasar borong selayang

Kerajaan meletakkan Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang sebagai kawasan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 20 April hingga 3 Mei.

Sejurus selepas berakhir di kawasan itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata imej Pasar Borong Kuala Lumpur perlu ditambah baik.

“Selepas PKPD, saya terpanggil untuk mencari penyelesaian untuk menambah baik keadaan Pasar Borong (Kuala Lumpur) kerana kita sebagai negara maju, tidak boleh mempunyai pasar borong yang kelihatan seperti negara kelas ketiga.

Tindakan kerajaan ini rata-ratanya disokong kuat oleh orang ramai yang berpendapat kebanjiran warga Myanmar, terutamanya etnik Rohingya, di kawasan Pasar Borong Selayang adalah punca utamanya.

Jabatan Imigresen Malaysia kemudiannya giat memperhebatkan operasi dokumentasi penduduk asing tanpa izin (PATI) di kawasan PKPD. Operasi ini membuatkan jumlah pekerja di Pasar Borong Selayang tidak mencukupi.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Selayang kepada golongan belia menganggur dengan gaji sebanyak RM2,400 sebulan.

“Jika sebelum ini warga gelandangan ditawar gaji sekitar RM1,400 hingga RM1,600 dalam sektor perkilangan, saya berunding (untuk gaji) sehingga RM2,400 kepada mereka yang mahu bekerja di pasar borong,” kata Annuar Musa.

“Sebelum ini, kami telah berjaya mendapatkan peluang pekerjaan kepada warga gelandangan dan kali ini ramai golongan muda hilang pekerjaan dan menganggur akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka kini kami tampil untuk membantu mereka pula.”

Orang Malaysia takkan bertahan lama di Pasar Borong

Bagaimanapun rata-rata pekerja asing yang sudah lama bekerja di pasar basah tempatan, tidak yakin orang Malaysia akan merebut peluang yang ditawarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ketika ditemu ramah oleh Malay Mail, seorang pekerja pasar PJ Old Town bernama Shoaib dari Bangladesh berkata:

“Sepanjang 10 tahun saya kerja di pasar basah, saya nampak dah ramai pekerja tempatan datang dan pergi. Tapi tak ada yang bertahan lama.

“Kehidupan pekerja tempatan tak susah macam kami. Bila mereka sedar yang mereka tak boleh bangun awal setiap pagi, tak boleh cuti, tak boleh tahan bau busuk hari-hari, mereka akan cabut lari.

“Kami hanya cuti 10 hari setahun. Lain hari, kami kerja. Kadang-kadang, sebulan kami cuti sehari sahaja. Itu pun separuh hari sebab bos suruh kami datang bersihkan gerai.

Sebagai pekerja pasar basah, Shoaib perlu bangun seawal jam 2 pagi setiap hari. Setibanya di pasar, mereka perlu membersihkan gerai, angkat barang jualan, susun di stor dan di rak jualan.

Mereka yang bekerja di gerai daging pula perlu menyembelih, membersih, membasuh, menyiang dan memotong daging sebelum pelanggan datang seawal pukul 6 pagi. Mereka hanya akan dapat balik pada jam 1 atau 2 petang.

Shoaib turut memberitahu pekerja tempatan kurang sabar berbanding pekerja asing seperti mereka.

“Bos saya sendiri selalu bergaduh dengan pelanggan tetapnya. Kadang-kadang sampai saya kena beritahu bos yang ini pelanggan tetap kita.

“Bayangkan kalau bos saya sendiri pun kurang sabar, apatah lagi pekerja tempatan.”

Menurut Shoaib, walaupun gaji yang mereka terima hanya separuh (RM1,200) daripada gaji yang ditawarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan kepada pekerja tempatan, mereka bertahan kerana tiada pilihan.

“Mungkin sekarang pekerja tempatan akan sanggup kerja di pasar. Tapi bila ekonomi bertambah elok nanti dan pilihan jadi lebih banyak, mereka akan meninggalkan pasar punya.”

Bekerja Di Pasar Borong Selayang, Orang Malaysia Takkan Tahan Lama! 1

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here