Home All Isu Semasa 17 Tahun Lepas Bagaimana Malaysia Melawan SARS, “Saya Larang Orang Politik Cakap...

17 Tahun Lepas Bagaimana Malaysia Melawan SARS, “Saya Larang Orang Politik Cakap Pasal Wabak” – Dr Ismail Merican

4072
0
17 Tahun Lepas Bagaimana Malaysia Melawan SARS,

17 Tahun Lepas Bagaimana Malaysia Melawan SARS, “Saya Larang Orang Politik Cakap Pasal Wabak” – Dr Ismail Merican | MALAYSIA berada di tangga ke-18 dalam Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) 2019 daripada 195 negara, dalam keupayaan negara mencegah, mengesan dan bertindak terhadap penularan penyakit berjangkit.

Pengalaman Malaysia menangani wabak berbahaya sebelum ini seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV), virus Nipah dan Ebola memberi kelebihan kepada negara untuk mengendalikan dan menangani penularan COVID-19 dengan lebih berkesan.

BH menemuramah bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican yang berpengalaman dan terbabit secara langsung dalam usaha negara menangani SARS pada 2003.

17 Tahun Lepas Bagaimana Malaysia Melawan SARS, "Saya Larang Orang Politik Cakap Pasal Wabak" - Dr Ismail Merican

S: Boleh Tan Sri ceritakan pengalaman terbabit dalam usaha negara menangani SARS sebelum ini?

J: Ketika SARS melanda negara, saya bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan. Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad memanggil Menteri Kesihatan (Datuk Chua Jui Meng) memaklumkan bahawa SARS perlu ditangani dengan berkesan kerana beliau tidak gembira dengan cara kita mengendalikan virus Nipah sebelum itu.

Ketika virus Nipah berlaku, keadaan agak kecoh dan semua orang bercakap mengenainya, seterusnya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Ia mencetuskan rasa panik dan tiada sesiapa yang mahu mendengar makluman daripada Kementerian Kesihatan. Semua orang ada strategi sendiri, jadi Perdana Menteri tidak gembira mengenainya.

Jadi, beliau mahu hanya ada dua jurucakap yang memberi kenyataan mengenai SARS iaitu Menteri untuk bercakap mengenai dasar dan Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu (Tan Sri Dr Mohamad Taha Arif) untuk bercakap mengenai perkara teknikal. Menteri memberitahu bahawa beliau memerlukan seorang lagi jurucakap iaitu saya, dan Perdana Menteri setuju mengenainya.

Bagaimanapun, di peringkat awal kita mengendalikan kes ini, Ketua Pengarah Kesihatan jatuh sakit. Jadi, saya mengambil alih mengendalikan gerak kerja menangani SARS ini selepas itu selama tiga bulan.

S: Apa gerak kerja yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan ketika itu dalam menangani penularan SARS?

J: Semua klinik kesihatan, hospital dan makmal kesihatan di seluruh Malaysia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dalam memantau penularan wabak ini. Bilik operasi SARS peringkat kebangsaan juga dibentuk dan kita ada Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit, yang mana kita petakan semua kes yang berlaku di seluruh dunia supaya kita sentiasa tahu mengenai kes baharu.

Kita mengeluarkan Garis Panduan Pemantauan, Soalan Yang Kerap Ditanya (FAQ), Kad Penanda Kesihatan, panduan untuk pelancong, panduan untuk para doktor dan pengamal perubatan serta panduan penerbangan.

Kita sentiasa bermesyuarat dengan penyedia perkhidmatan kesihatan dan memberitahu doktor apakah simptom yang memerlukan mereka menghantar pesakit yang disyaki menghidap SARS ke hospital. Pendidikan mengenai perkara itu sangat penting.

S: Bagaimana dari segi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengenal pasti individu yang mungkin menghidap wabak itu?

J: Seperti yang dilaksanakan bagi COVID-19, kita juga menjalankan pengesanan suhu badan di semua pintu masuk negara. Kita memberi lebih tumpuan kepada mereka yang datang dari China kerana kebanyakan kes adalah di negara itu. Jika ada antara pelancong itu yang demam dan mempunyai simptom SARS, kita akan kuarantinkan mereka selama 14 hari.

17 Tahun Lepas Bagaimana Malaysia Melawan SARS, "Saya Larang Orang Politik Cakap Pasal Wabak" - Dr Ismail Merican

S: Adakah kita membatalkan penerbangan atau menyekat penerbangan dari negara tertentu?

J: Kita mengenakan sekatan penerbangan ke beberapa negara yang ada kematian akibat SARS. Kita mengeluarkan nasihat perjalanan, yang mana rakyat negara ini tidak digalakkan ke negara terbabit jika tidak perlu. Jika mereka mahu pergi juga, mereka perlu menanggung risikonya. Jadi, kebanyakan mereka tidak meneruskan perjalanan.

S: Bagaimana Tan Sri melihat SARS jika dibandingkan dengan COVID-19?

J: COVID-19 sangat mudah berjangkit jika dibandingkan dengan SARS, namun SARS mempunyai tahap kematian yang lebih tinggi.

Dalam masa tidak sampai sebulan, kes COVID-19 sudah mencecah 45,000 kes. Di China, jumlah mereka yang dijangkiti COVID-19 mencecah lebih 66,000 orang dengan lebih 1,000 kematian. Di Malaysia, ia sudah mencecah 18 kes dan tiada kematian.

Bagi SARS, kadar kematian pada ketika itu adalah kira-kira 10 peratus daripada jumlah kes. Di Malaysia, kita hanya ada beberapa kes dan dua kematian.

S: Bagaimana Tan Sri mengendalikan SARS dari aspek komunikasi dan memberi maklumat kepada rakyat?

J: Ketika itu, saya mengadakan sidang media setiap hari dengan kehadiran kira-kira 20 ke 30 wartawan tempatan dan luar negara. Selain itu, TV3 turut menyediakan slot khas untuk saya bercakap secara langsung setiap malam mengenai perkembangan penularan wabak ini. Kira-kira tiga juta orang menonton slot berkenaan.

Pada saya, ia adalah sesuatu yang bagus, yang mana kita di Kementerian Kesihatan ada kawalan dari segi penyebaran maklumat dan masyarakat juga mendapat maklumat yang sahih daripada kita. Saya juga meminta supaya mana-mana ahli politik tidak bercakap mengenai wabak ini kerana ia hanya akan hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Ada beberapa ahli politik yang tidak berpuas hati mengenainya tetapi saya tidak kisah kerana saya memberitahu maklumat yang benar dan saya sudah diberikan mandat. Politik dan kesihatan adalah dua perkara berbeza. Jadi, hanya ada seorang jurucakap dan sebab itu, ia berada dalam kawalan.

Sebelum sebarang sidang media, saya akan pastikan semua maklumat mencukupi dan disemak sekali lagi sehingga saya sendiri yakin mengenainya. Saya tidak terima bulat-bulat apa yang dimaklumkan kerana jika ada maklumat yang salah, ia akan menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun pada ketika itu, kita tidak ada media sosial dan ia memberi sedikit kelebihan kepada kita. Jika ada fakta yang perlu diperiksa, orang awam akan memeriksanya dengan Kementerian Kesihatan.

Mereka sangat yakin dengan Kementerian Kesihatan dan mengikut nasihat kita, jadi saya tidak lihat ada situasi cemas dalam kalangan rakyat.

S: Bagaimana kerjasama kita dengan negara lain dalam menangani wabak ini?

J: Sangat baik. Saya memberikan penerangan mengenai perkembangan SARS kepada kedutaan negara asing di Malaysia. Ini bagi memberikan mereka jaminan bahawa Malaysia adalah negara yang selamat dan rakyat negara mereka boleh datang ke Malaysia sama ada untuk melancong, pendidikan dan sebagainya.

Saya juga ke Singapura dengan beberapa pegawai untuk melihat sama ada langkah pencegahan yang kita laksanakan sama atau tidak dengan negara itu berikutan pergerakan masuk dan keluar kita ke negara itu adalah melalui jalan raya.

Selepas tiga bulan, kita dapat mengawal wabak ini sepenuhnya. Kita menerima lawatan daripada negara seperti Hong Kong, Jepun, China dan Indonesia untuk melihat bagaimana kita berjaya menangani penularan SARS.

S: Bagaimana Tan Sri melihat usaha negara menangani COVID-19 ketika ini?

J: Kementerian Kesihatan bertungkus-lumus dan melakukan yang terbaik untuk menangani penularan virus ini. Dari segi teknikal dan SOP, ia amat baik dan kita juga sentiasa mengikut nasihat WHO.

Dari segi komunikasi, ia mungkin boleh diperbaiki dengan lebih baik lagi terutama dengan penularan berita palsu di media sosial. Ia perlu ditangani dengan baik supaya rakyat tidak cemas.

S: Apa nasihat Tan Sri kepada masyarakat supaya mereka tidak cemas dalam menghadapi COVID-19 ketika ini?

J: Nasihat saya sangat ringkas. Jalankan tanggungjawab anda. Sentiasa basuh tangan dengan air dan sabun atau pencuci tangan. Jangan sentuh muka, mata, hidung dan mulut. Itu adalah perlindungan yang pertama.

Jika anda balik dari negara yang terjejas akibat virus itu terutama China, ambil bacaan suhu badan anda setiap hari selama 14 hari. Jika rasa tidak sihat dan ada simptom seperti demam, batuk dan sukar bernafas, segera berjumpa doktor.

Jika di tempat awam juga, sentiasa berhati-hati. Bagi mereka yang tidak sihat, pakailah topeng muka supaya anda tidak menjangkiti orang lain.

Baca Selanjutnya

17 Tahun Lepas Bagaimana Malaysia Melawan SARS, "Saya Larang Orang Politik Cakap Pasal Wabak" - Dr Ismail Merican 1

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here