Tak Guna Beri Cuti Kalau Anak Dibiarkan Bermain Di Luar Rumah

0
701
anak

Sekolah tutup namun anda tahukah apa aktiviti anak ketika ini? Sama ada mereka berada di dalam rumah atau bermain di luar kawasan rumah?

Kementerian Pendidikan pada Rabu lalu telah mengeluarkan kenyataan penutupan sebanyak 2,459 buah sekolah yang melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara. Ini bermakna kesemua sekolah terlibat telah diberikan cuti tanpa ganti selama sehari atau dua hari.

Bagi beberapa buah negeri yang terjejas teruk seperti Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya arahan penutupan diberikan selama dua hari manakala bagi sekolah di beberapa buah negeri lain seperti Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak pemberian cuti hanya diberikan selama sehari.

Pemberian cuti sudah tentu memberikan khabar gembira buat ibu bapa yang risau akan tahap kesihatan anak-anak mereka. Sakit mata, batuk, masalah pernafasan dan pelbagai lagi merupakan kesan-kesan kesihatan akibat jerebu.

Tak Guna Beri Cuti Kalau Anak Dibiarkan Bermain Di Luar Rumah 1

Sudah Diberi Cuti Tapi Biarkan Anak Berada Di Luar Rumah

Walau bagaimanapun notis cuti yang kerajaan berikan tidak seperti diharapkan. Kelihatan kanak-kanak dan golongan remaja mengambil kesempatan dengan bermain di luar rumah. Ibu bapa seolah-olah seperti tidak mengendahkan amaran bahaya jerebu yang diperkatakan.

Begitulah masalah sesetengah ibu bapa. Apabila kualiti udara tidak sihat desak kerajaan untuk memberikan cuti sekolah atas alasan berbahaya, tetapi apabila cuti telah diberikan, mereka membiarkan sahaja anak-anak bermain di luar rumah tanpa sebarang pengawasan.

Seolah-olah definisi berbahaya itu hanya terpakai untuk di sekolah sahaja, bukan di rumah.

Ibu Bapa Harus Peka

Sudah tentu keadaan ini tidak mengubah apa-apa. Sekiranya keadaan semakin teruk, mulalah menyalahkan kerajaan itu dan ini, walhal tanggungjawab di rumah terletak di atas bahu ibu bapa sendiri. Persoalannya, mengapa manusia begitu mudah menyalahkan orang lain berbanding memikirkan kecuaian sendiri?

Apa yang penting, tanggungjawab Kementerian Pendidikan umtuk mengurangkan risiko yang bakal dihadapi pelajar-pelajar telah dilakukan. Terpulang kepada ibu bapa untuk menguruskan anak-anak yang berada di rumah.

Kes Kematian Akibat Jerebu

Ibu bapa harus ingat, kes-kes kematian akibat jerebu pernah dicatatkan. Lihat sahaja kes-kes baru ini yang melibatkan seorang bayi dan warga emas di Sumatera yang dilaporkan meninggal dunia. Ia ekoran kesusahan bernafas akibat jerebu bertoksik yang berlaku selama beberapa minggu.

Mencegah lebih baik dari mengubat. Walaupun situasi ini bukan berlaku di Malaysia, tetapi langkah berjaga-jaga harus diutamakan.

Dengan bacaan Indeks Kualiti Udara (IPU) yang semakin merosot, tidak mustahil sekiranya masalah yang sama bakal berlaku di negara kita.

Patuhi Arahan Yang Dikeluarkan Kerajaan

Justeru itu ibu bapa perlu mengikuti panduan penjagaan kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Arahan yang paling utama ialah menggesa anak-anak mengurangkan segala aktiviti fizikal di luar rumah bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Sekiranya perlu ke luar rumah, maka persiapkan mereka dengan alat penutup muka.

Begitu juga dengan pengambilan air kosong yang banyak (sekurang-kurangnya lapan gelas sehari) meskipun tidak terasa dahaga. Pengambilan air kosong sangat penting kerana membekalkan lebih banyak oksigen kepada badan.

Di peringkat kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menangani masalah jerebu termasuklah melarang sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan melakukan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan.

Namun begitu, tanggungjawab menjaga anak-anak di rumah tetap digalas sepenuhnya oleh ibu bapa. Justeru kesedaran ibu bapa adalah sangat penting.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here