Home All Isu Semasa Semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara keagamaan ditangguh atau dibatal hingga 30...

Semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara keagamaan ditangguh atau dibatal hingga 30 April

2285
2
perhimpunan

KERAJAAN memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas berkaitan penularan jangkitan penyakit koronavirus (Covid-19) di Malaysia, yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, Jumaat malam.

Bagaimanapun menurut Muhyiddin, keputusan itu akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik.

Garis Panduan Perhimpunan Ibadat di Masjid

“Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama telah mengeluarkan Garis Panduan bagi perhimpunan ibadat di masjid untuk mengelakkan penularan Covid-19.

“Saya harap pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri turut mengeluarkan garis panduan yang serupa dengan mengambil kira nasihat dan arahan daripada pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Acara keagamaan bagi agama-agama lain yang melibatkan perhimpunan berskala besar juga mestilah mengambil kira nasihat dan arahan daripada KKM dari masa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk membatalkan sebarang bentuk perhimpunan bagi mengelakkan penularan wabak ini.

perhimpunan
Menurut Muhyiddin, kerajaan akan terus mempertingkatkan saringan di pintu masuk antarabangsa.

Perdana Menteri juga berkata, sebagai persediaan menghadapi situasi yang lebih serius, kerajaan akan terus mempertingkatkan pelaksanaan saringan di pintu masuk antarabangsa, menjalankan sekatan perjalanan dari negara terlibat dan menyediakan laluan khas untuk pelawat dari negara tersebut.

“Kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang; Hokkaido, Jepun; Itali, Iran dan Republik Korea.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan virus Covid-19,” ujar Muhyiddin sambil menambah, kapal-kapal persiaran hanya dibenarkan berlabuh untuk penambahan bekalan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan sedar ramai dari kalangan rakyat yang terkesan dari segi ekonomi akibat penularan Covid-19.

“Ada yang diarah mengambil cuti, bekerja dari rumah, malah kehilangan pekerjaan.

“Dari segi ekonomi, sektor yang paling teruk terjejas ialah pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana, dan industri pengangkutan.

“Anggaran kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 adalah sebanyak RM 3.37 billion.

“Kerajaan menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menurun sebanyak 0.8 peratus hingga 1.2 peratus, iaitu penurunan sebanyak RM10.8 billion hingga RM17.3 billion.

“Untuk itu, kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya akan dapat dirasai oleh anda semua dengan segera,” ujarnya lagi.

Sehingga Jumaat, Malaysia mencatatkan sebanyak 197 kes positif Covid-19.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here