Home All Tazkirah Kematian Mengejut Itu Istirahat Golongan Mukmin Dan Berita Menyedihkan Buat Orang Fajir

Kematian Mengejut Itu Istirahat Golongan Mukmin Dan Berita Menyedihkan Buat Orang Fajir

2468
0
kematian mengejut

Kematian Mengejut Itu Istirahat Golongan Mukmin Dan Berita Menyedihkan Buat Orang Fajir | KEMATIAN bukanlah suatu pekara yang asing kepada umat manusia kerana saban hari pasti adanya berita kematian tidak mengira peringkat umur.

Ada sesetengahnya meninggal dunia ketika di dalam rahim lagi, ada juga yang meninggal sewaktu kecil, ketika remaja dan ada pula dijemput Ilahi pada usia tua.

Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 185: (Maksudnya) Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.

Dalam ayat ini dapat difahami bahawa semua makhluk yang bernyawa akan menemui kematian dan tidak ada satu pun yang kekal melainkan Allah.

Persoalannya sekarang ialah bagaimana cara kematian yang kita kehendaki? Pasti ramai dalam kalangan kita akan mengatakan bahawa kematian yang diimpikan ialah kematian dalam melakukan ibadah kepada Allah.

kematian mengejut

Setiap yang hidup pasti akan merasai kematian. Sejauh mana pun kita melarikan diri daripada kematian, ia tetap akan mengekori kita. – Gambar Sekadar Hiasan

Kematian Mengejut Itu Rahsia Allah

Jika kita bandingkan kematian umat terdahulu dengan zaman kini, maka kita akan dapati satu perkara yang luar biasa dengan perbandingan ini. Ini kerana orang dahulu ramai di antara mereka meninggal dunia disebabkan oleh peperangan ataupun sakit yang kita ketahui penyakitnya.

Ada pun pada masa sekarang kita dapati ramai dalam kalangan kita yang meninggal secara tiba-tiba atau kematian mengejut dan tidak diketahui apakah punya kematiannya itu. Jika dilihat daripada sudut tubuh badan, umur dan lain-lain maka kita akan mengatakan mereka ini dalam keadaan baik dan sihat.

Tidak dinafikan bahawa kematian mengejut juga berlaku pada zaman dahulu cuma pada zaman sekarang ia semakin meningkat. Ini dibuktikan dengan hadis nabi.

Seorang mukmin yang mentaati perintah Allah akan bersedia dengan kematian dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana dia mengetahui kematian boleh menjemputnya pada bila-bila masa yang dikehendaki Allah.

DR HADI ALMAGHRIBI

PENSYARAH

Sabda baginda Rasulullah: Daripada tanda-tanda kiamat ialah akan muncul kematian dengan tiba-tiba – [HR Tabrani 5899].

Persoalan yang bermain di fikiran kita sekarang ialah adakah kematian mengejut secara tiba-tiba ini merupakan kematian yang tidak baik?

Imam Bukhari ada meletakkan satu bab mengenai kematian yang secara tiba-tiba dan dia memulakan dengan sebuah hadis: Seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Ibuku meninggal dunia dengan tiba-tiba, dan aku menduga seandainya dia sempat berbicara dia akan bersedekah. Apakah dia akan memperoleh pahala jika aku bersedekah untuknya (atas namanya)?” Beliau menjawab: “Ya, benar” – [HR Bukhari 1299].

Imam Badruddin Al-Ayni mengatakan mengenai hadis ini bahawa ketika lelaki itu bertanyakan kepada baginda Rasulullah, maka tidak terlihat di wajah baginda sesuatu yang tidak disukai. Oleh yang demikian, jelaslah kematian secara tiba-tiba itu bukanlah sesuatu yang tidak baik.

Kematian Mengejut Itu Istirahat Golongan Mukmin Dan Berita Menyedihkan Buat Orang Fajir 1

Kematian Mengejut Ashraf Sinclair  (kiri) dan Abam memberikan kesan besar kepada peminat.

Kata para alim ulama: Kematian yang mengejut bukanlah menjadi suatu persoalan yang penting akan tetapi persediaan sebelum kematian yang perlu difikirkan. Ini kerana kematian yang mengejut menyebabkan seseorang tidak dapat membuat persiapan untuk mengucap dua kalimah syahadah seperti mana mereka yang sedang dalam keadaan nazak.

Seorang mukmin yang mentaati perintah Allah akan bersedia dengan kematian dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana dia mengetahui kematian boleh menjemputnya pada bila-bila masa yang dikehendaki Allah.

Kerana itu Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah di dalam sebuah hadis: Dari Aisyah berkata; “Saya bertanya Rasulullah mengenai kematian secara tiba-tiba, maka Rasulullah bersabda: “Itu adalah istirehat seorang mukmin dan kematian yang menyedihkan bagi orang yang fajir (orang jahat yang suka melakukan maksiat dan berbuat keburukan).” – [HR Ahmad 23891].

Maka mintalah daripada Allah supaya kita sentiasa bersedia dan ingat akan kematian. Mohonlah juga agar dijauhkan kematian mengejut secara tiba-tiba seperti mana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis:

Bahawa baginda meminta perlindungan dari tujuh bentuk kematian seperti diriwayatkan oleh Imam Ahmad [17151].

1. Kematian secara tiba-tiba
2. Mati kerana sengatan ular
3. Mati kerana dimakan binatang buas
4. Mati kerana tenggelam
5. Mati kerana terbakar api
6. Terjatuh atau dijatuhi sesuatu
7. Mati disaat lari dari medan pertempuran.

Semoga kita meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang baik dan diredai oleh Allah serta sentiasa bersedia dengan kematian dengan mengerjakan amal soleh tanpa lalai sepanjang hidup kita yang bersisa ini.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

CONTINUE READING

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here